:: Iktibar Dari Kisah Obama ::

on Sunday, May 17, 2009

dipetik daripada : blog kadir jasin

SEBUAH universiti di Amerika memutuskan tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Presiden Barack Obama kerana dia belum cukup berjasa dan terbukti prestasinya.



Di Malaysia, universiti berlumba-lumba memberi ijazah kehormat kepada menteri, bekas menteri dan isteri menteri.

Tidak mengapa kalau isteri menteri atau isteri bekas menteri itu tidak jelas atau belum terbukti jasa, kepakaran dan kecemerlangannya. Yang penting dia isteri menteri.

Maaf cakaplah. Macam sesetengah gelaran diraja, gelaran kehormat universiti pun, kata orang putih, sudah jadi "a dime a dozen" atau dalam loghat Kedah, sedozen sekupang.

Di sesetengah negeri, gelaran diraja (termasuk oleh Gabenor) sudah jadi macam lawak. Budak 20-an tahun pun boleh dapat asalkan bapanya jutawan yang pemurah dengan "derma" dan "sedekah".

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, ada pengarang media massa yang dapat lima atau enam gelaran Datuk daripada negeri dan wilayah. Tak cukup dengan gelaran Datuk, diberikan pula gelaran Datuk Seri.

Khabarnya, di sebuah organisasi media arus perdana, pengurusan baru telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan yang ditawarkan anugerah diraja melaporkan terlebih dahulu kepada pengurusan.

Saya terbaca sebuah berita dari bandar Tempe di Negeri Arizona, Amerika Syarikat di mana Arizona State University tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Obama kerana pencapaiannya setakat ini belum melayakkannya menerima anugerah itu.

Dengan berseloroh, Obama berkata bukan pihak universiti itu sahaja yang berpendapat beliau perlu menunjukkan lebih banyak kejayaan malah isterinya sendiri, Michelle, juga berpendapat demikian.

Obama berkata begitu ketika menjadi tetamu kehormat di majlis konvokesyen universiti berkenan. Adalah tradisi universiti di Amerika menganugerahkan ijazah kehormat kepada tetamu khas majlis konvokesyen.

Sebaliknya pihak universiti itu menamakan salah satu skim biasiswanya mengikut nama Obama.

Dengan berseloroh, Obama berkata: "Saya datang ke sini bukanlah untuk mempertikai cakap-cakap bahawa pencapaian saya belum memadai. Buat permulaan, Michelle setuju dengan penilaian ini. Dia mempunyai senarai panjang mengenai apa yang belum saya laksanakan, yang menanti saya di rumah."

Kalau di Malaysia, sang isteri akan mengatakan suaminya layak dianugerahkan itu dan ini walaupun sang suami baru sehari menjadi menteri atau menjawat jawatan tinggi.

Kita suka orang luar kata kita sederhana atau "modest". Tetapi ramai orang kita sebenarnya amat suka menunjuk-nunjuk dan gila pangkat.

Mereka tidak begitu peduli pandangan masyarakat terhadap mereka. Akibatnya mereka sangat serius mencari anugerah, pangkat dan gelaran, tetapi mereka tidak berkelakuan seperti orang ternama.

Maka berlakulah situasi di mana budak "kanyir" dan jutawan segera yang entah apa sumbangannya kepada masyarakat dan negara diberikan pelbagai gelaran dan anugerah, termasuk gelaran diraja.

Tidak hairan jugalah kalau begitu ramai penyandang anugerah diraja yang terbabit atau dikaitkan dengan akhlak buruk, skandal dan jenayah.

Ada negeri dan wilayah tertentu di bumi Malaysia ini yang menjadikan penawaran anugerah sebagai cara mencari pengaruh politik dan sumbangan kewangan.

Harap-harap institusi pengajian tinggi kita mengambil iktibar daripada tindakan Arizona State University dengan tidak sewenang-wenang memberi ijazah kehormat kepada sebarang Ali, Ah Kau dan Muthu.


http://kadirjasin.blogspot.com/2009/05/iktibar-daripada-cerita-presiden-obama.html

Sekali Sekala : Saya, Kisah Benar & Motivasi Diri

on Tuesday, May 12, 2009

dipetik daripada : http://www.zaharuddin.net/content/view/618/72/


"Zaharuddin, kamu tahu tak bagaimana sukarnya pembelajaran Syariah di Universiti Dimasqh ?" kata rakan sekelas Sarjana Fiqh & Usul Fiqh bernama Toriq.

Pemuda bernama Toriq ini berasal dari Jordan dan merupakan seorang pelajar yang sering mendapat markah tinggi dalam setiap subjek yang diambil. Pada semester itu, saya ambil satu subjek dengannya dan kebetulan guru yang mengajar adalah antara ulama terhebat dalam bidang Usul Fiqh di Timur Tengah. Beliau adalah Syeikh Prof. Dr Muhammad Fathi Ad-Durayni yang ketika itu berumur 80 tahun, tetapi mempunyai ingatan dan ilmu Usul Fiqh yang canggih. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Universiti Dimasqh sebagai Dekan Syariah.

Sebenarnya, saya memang sudah mengetahui kesukaran tinggi dalam pengajian Syariah di Universiti Dimasqh di Syria sejak zaman silam sehingga akhir tahun 90 an. (Diberitakan mulai tahun 2004 mereka mengubah cara untuk meringankan imej sukar itu). Demikian yang disebutkan oleh guru kami Syeikh Prof Dr Mohammad ‘Uqlah el-Ibrahim ketika memberi kuliah di dalam kelas Sarjana di Universiti Al-Yarmouk.

Ia disebabkan ulama-ulama hebat yang mengemudi Fakulti Syariah di sana. Seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa dan Syeikh Dr Mustafa As-Siba'ie dan ramai lagi.

Sehingga diberitahu sesiapa yang mampu lulus Sarjana Muda (B.A) Syariah dengan markah sekadar 60 % pun ia sudah seperti mustahil dan amat luar biasa.

"Bagaimana?" Tanya saya kepada Toriq.

"Sehingga, jika aku masuk ke sana pun, aku mungkin lulus tetapi hanya cukup makan sahaja, tetapi jika orang macam kamu masuk, memang tiada harapan" katanya selamba.

Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata itu.

Memang biasa pelajar-pelajar Arab ini meninggi diri dan memperlekeh orang bukan ‘Arab. Apatah lagi orang asia seperti saya.

Tercabar dan Mencabar

Tidak mengapa, entah mengapa perangai saya agak berbeza dalam semua perkara yang saya minat dan sukai.

Setiap kali saya dicabar atau tercabar dalam perkara yang saya minati, saya akan menganggapnya sebagai positif dan sekaligus menambah semangat saya.

Saya memang minat mengaji ilmu Usul Fiqh Tinggi (advance) ini kerana menyedari keperluannya amat tinggi jika saya ingin mendapat pahala besar dan berterusan sehingga selepas kematian. Ini kerana ilmu ini membantu saya memahami bagaimana cara dan keadah mengeluarkan hukum Fiqh dari dalil yang pelbagai. Selain mengajar saya menghargai dan meraikan kepelbagaian fatwa.

"Zaharuddin...!! Apa yang engkau lakukan??!" kata Toriq selepas sama-sama melihat markah kami terpampang di dinding fakulti Syariah.

Dengan izin Allah, saya muncul pelajar yang memperolehi markah tertinggi menewaskan seluruh pelajar Arab dari Jordan, Bahrain, Saudi, Iraq dan Mesir. Kelas peringkat sarjana (MA) untuk subjek ini tersebut mempunyai sekitar 40 orang pelajar.

Terdapat beberapa pelajar gagal termasuk pelajar Malaysia.

"Nama kamu boleh dicatat dalam akhbar universiti ni, tidak pernah ada pelajar bukan arab meraih markah tertinggi dalam apa jua subjek Sarjana Fiqh sebelum ini" Kata seorang lagi pelajar Jordan yang bertubuh kerdil. Maaf saya lupa namanya.

Semester Depan

Semester selepas itu, lebih getir. Jika mengikut jadual, saya tiada pilihan kecuali terpaksa mengambil subjek ‘Isu-isu Fiqh Kontemporari' (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh) melainkan terpaksa mengambilnya dengan seorang lagi guru yang dibenci pelajar arab dan bukan arab, beliau adalah Prof. Dr Abd Naseer Abul Basal kerana sikapnya yang terlalu ‘strict' dalam semakan jawapan dan kerap memberi markah rendah tidak kira kepada pelajar Malaysia dan arab. Malah ramai yang kerap digagalkannya.

Tanya sahaja mana-mana pelajar Malaysia lepasan Jordan yang pernah mengambil subjek dengan Dr Abd Naseer ini. Hampir pasti ramai yang tidak puas hati dengannya. Tetapi saya menyukainya dan beliau juga selesa dengan saya.

Selagi lagi Toriq memberi amaran kepada saya apabila tahu saya sedang berfikir untuk mengambil subjek ini.

"Aku betul-betul ikhlas nasihatkan kamu, jangan ambil subjek dengan Dr Abd Naseer, dia tidak akan beri engkau ilmu mahupun markah" Katanya serius dalam bahasa arab fushah.

Saya merasa tercabar dengan kanyataan Toriq lagi, dan tercabar juga dengan ramai rakan arab lain yang sering menakutkan-nakutkan saya dengan kegagalan.

Saya mengangguk-angguk sahaja. Saya juga tahu hal kesukaran ini, tetapi saya tiada pilihan kerana jika tidak mengambilnya pada semester itu, saya akan lewat menamatkan pengajian.

"MasyaAllah, tahniah-tahniah" kata rakan-rakan arab kepada saya ketika markah ditampal.

Saya katakan kepada Toriq selepas itu :

"Aku suka Dr Abd Naseer, dia adil dalam memberi markah kepada yang layak. aku perolehi ilmu dan markah darinya"

Toriq hanya tersenyum pahit dan terus berlalu.

Alhamdulillah sekali lagi saya mendapat markah tertinggi, tetapi kali ini saya berkongsi dengan seorang lagi pelajar Arab. Kami berdua memperolehi markah luar biasa untuk diperolehi dari Dr Abd Naseer. Ramai yang gagal mencapai markah lulus 70 %. Semua dibawah 70 % adalah gagal dan perlu mengulang subjek.

Apa rahsianya?

Saya juga tidak tahu rahsianya, cuma saya sememangnya meminati subjek Fiqh kontemporari dan semua isu-isunya walaupun sukar dan silibusnya sekitar 2000 muka surat disamping ‘assignment' keseluruhan sekitar 200 muka surat perlu disiapkan dengan rujukan yang mesti banyak.

Setelah fikir-fikir kembali, mungkin ini rahsianya.

Oleh kerana Fiqh kontemporari ini sukar, merangkumi perbincangan detail berkenaan hukum klon, insuran, genetic engineering, derma organ, penguguran janin dalam pelbagai bentuk, brain death dan banyak lagi isu kontemporari. Ia menjadi lebih sukar kerana semua bahan di dalam bahasa arab tinggi dan banyak istilah perbuatan dan sains di dalam bahasa arab. Namun demikian, saya kerap menjadikannya sebagai bahan untuk terbitan artikel saya.

Ertinya, saya menulis dan menterjemahkan bahan-bahan bacaan saya kepada bentuk artikel dan disebarkan melalui dua cara, pertama melalui internet (pada waktu tersebut saya belum mempuyai blog sendiri, justeru disebarkan melalui email dan forum-forum islamik), kedua ia disebarkan melalui kelas. Saya menawarkan kelas fiqh kontemporari kepada para pelajar Malaysa yang berada di Irbid pada ketika itu, lalu mereka yang berminat dengan ilmu datang berbondong-bondong ke rumah saya untuk mendengar kuliah saya berkenaan topik fiqh kontemporari (terutamanya para pelajar perubatan). Melalui cara ini saya terpaksa membuat kajian dan perlu memahami sebaik mungkin agar ia dapat disampaikan dan difahami oleh pendengar. Malah perlu juga merujuk kitab-kitab yang tidak termasuk di dalam silibus pengajian. Ternyata kaedah ini berjaya menguatkan ingatan dan kefahaman saya dalam setiap subjek hingga akhirnya memudahkan saya menjawab apa juga bentuk soalan exam yang diberikan. Cubalah..

Tambahan dari itu saya meminati subjek ini kerana ia amat releven dengan masyarakat semasa. Justeru bagi saya, ia adalah satu peluang untuk saya mendapat pahala besar bila pulang ke Malaysia nanti. Saya mesti faham dan memahirkan diri dengan semua tajuk-tajuk tadi bagi menyebarluaskannya di Malaysia. Ia adalah amal jariah buat hari kematian saya. Ia menjadikan saya amat bermotivasi mempelajarinya.

Cerita Berbelas Tahun Dahulu

Entah mengapa rupanya sejak dari dulu saya memang demikian. Jika minat terhadap sesuatu perkara dapat dikembangkan dalam diri ditambah pula perkara itu amat bermanfaat, kemudian dicabar samada secara sengaja atau tidak oleh mana-mana pihak, saya akan mengambilnya sebagai motivasi.

Saya masih ingat 14 tahun dulu, ketika dulu saya meminati nasyid terutamanya bermain kompang. Ketika saya sedang asyik cuba memukul kompang itu, tiba-tiba seorang penasyid universiti dan pakar kompang (penasyid tersebut adalah ahli kumpulan brothers ketika ini) mengatakan cara pukulan saya kelihatan kurang bakat.

Hasilnya, saya belatih dan berlatih sehingga saya dipilih untuk bermain kompang bagi persembahan universiti. Penasyid solonya adalah individu yang menafikan bakat saya tadi.

Kerana saya minat, cuma tatkala itu masih muda, minat pun menurut peredaran zaman, ketika ini saya tidak lagi minat untuk bernasyid, cuma masih mendengar nasyid sahaja.

Tulisan Khat

Saya juga minat menulis khat samada khat diwani, nasakh, thuluth dan lain-lain. Sehingga saya berjumpa seorang senior yang cantik dan indah tulisan khatnya. Beliau merupakan individu yang sering terpilih untuk menulis khat (kain rentang dipentas) bagi majlis besar di dewan universiti dan juga di majalah universiti.

Bila saya tunjukkan bakat saya di depannya, beliau berkata :-

"Jika tengok jari-jari anta ni, rasanya jari anta ni bukan jari orang menulis khat, keras" kata Imran kepada saya.

Saya tercabar, saya berlatih setiap kali ada waktu kosong. Hasilnya, saya perolehi kontrak menulis ratusan tajuk buku fotostat (atas kulit keras) di perpustakaan universiti. Mendapat bayaran juga. Sehingga hari ini tulisan saya boleh dilihat di perpustakaan UM Nilam Puri. Tulisan saya hari ini lebih baik dari apa yang ada di buku tersebut.

Saya juga menulis khat untuk majalah universiti dan majlis besar di dewan universiti, menggantikan senior yang sudah keluar. Saya berjaya buktikan ‘jari keras' saya mampu mencarik adat yang disebutkan senior tadi. Semuanya kerana minat dan motivasi.

Nak lihat tulisan khat saya?..maaf, tiada yang boleh saya scan buat masa ini.

Minat amat penting, anda ingin berjaya?..pastikan ia menjadi minat. Minat boleh datang jika anda punyai ilmu tentang kepentingan perkara itu untuk anda dan masyarakat. Tanpanya minat tidak berguna. Minat sesuatu yang tiada manfaat akhirat adalah sia-sia.

motivasi.jpg

Cabaran Bahasa Arab & Sarjana

Saya lulusan Usuluddin pengkhususan tafsir dan pentadbiran Awam dari Universiti Malaya, Majoriti pelajaran kami di UM adalah di dalam Bahasa Malaysia. Jika ada subjek yang menggunakan bahasa Arab pun, jawapan peperiksaan adakalanya masih boleh ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebelum menyambung Sarjana (MA) pula, saya bekerja selama 3 tahun sebagai pendakwah dan penceramah di seluruh Malaysia, tetapi tidak masuk media dan kerana itu anda tidak mengenali saya. Saya juga tidak mengulang dan tiada masa untuk praktis menyebabkan bahasa arab saya semakin hilang dengan dahysatnya.

Semasa berceramah pula, saya sentiasa mencari bahagian ilmu Islam yang manakah yang kurang dalam masyarakat serta ilmu apakah pula yang patut seorang ustaz dalami untuk membantu masyarakat.

Hasilnya, saya dapati ilmu Fiqh kontemporari dan Fiqh Muamalat adalah bahagian ilmu Islam yang masih agak kurang tumpuan di kalangan ilmuan Islam di Malaysia. Justeru, saya merancang menumpu di bidang tersebut. Demi mencapainya, saya terpaksa bertukar ke bahagian Fiqh dan Usul Fiqh bagi ijazah Sarjana di Jordan.

Ini menyebabkan saya terpaksa mengambil beberapa matapelajaran tambahan. Bahasa Arab saya tercabar. Ramai yang bertanya,

"tak susah ke?,biasanya orang BA di Timur Tengah, MA di Malaysia, tapi enta ni terbalik, pastu nak tukar bidang pula". Kata beberapa rakan saya.

Memang sukar, saya tercabar kerana tiada kursus Bahasa arab tambahan untuk saya, semuanya perlukan usaha sendiri. Lebih sukar kerana saya perlu berada di tahap bahasa Arab peringkat Sarjana dan berbahas semua isu Fiqh dan Usul Fiqh pada tahap Sarjana, bukannya peringkat asas lagi. Ini tidak mudah kerana saya hanyalah lulusan BA Usuluddin dan amat kurang penumpuan di bahagian Fiqh dan Usul Fiqh sebelum ini.

Akan tetapi saya amat berminat dengan subjek Usul Fiqh dan saya amat menyedari kepentingannya untuk dunia dan akhirat saya. Tanpa banyak soal, saya perlu mengerah otak dan minda untuk mencapai target ini.

Akhirnya saya berjaya menamatkan MA saya dalam tempoh 2 tahun 10 bulan, terlewat sedikit disebabkan diwajibkan mengambil matapelajaran tambahan selama satu semester. Bagi perolehi MA dari Jordan atau Timur Tengah, tempoh paling cepat adalah 2 tahun dan paling lewat adalah 7 tahun. Ini disebabkan sistem pembelajaran mereka yang perlukan pengajian kelas dan tesis sekaligus (berbeza MA di UK yang perlukan hanya setahun). Beberapa pelajar Iraq dan Jordan sudah mencecah 4 tahun namun masih lagi gagal menamatkan pengajian mereka.

Bahasa Arab saya tercabar, tetapi akhirnya ketika tesis MA saya di perdebatkan oleh para ilmuan. Bahasa Arab yang saya gunakan dipuji oleh Syeikh Prof Dr Abd Malik As-Sa'di al-‘Iraqi sehingga beliau menyangkakan Profesor penyelia saya yang membantu mencipta ayat. Benar, tetapi 80 % tesis itu adalah bahasa yang saya usahakan sendiri dan bukan dari ‘supervisor' saya. Alhamdulillah, tesis itu telah dicetak oleh UIAM press.

Mencabar Demi Ilmu

Yang istimewa di Universiti Al- Yarmouk, saya dibenarkan mencari sendiri supervisor dan ‘munaqish' (iaitu prof penyemak tesis)

Saya dicadangkan oleh rakan-rakan ‘Arab untuk mengambil pensyarah-pensyarah yang mudah lulus untuk penyeliaan tesis. Saya menolak dan sengaja memilih ulama yang paling unggul dengan ilmu dan akhlak di Universiti al-Yarmouk, iaitu guru mursyid saya Syeikh Prof Dr. Md ‘Uqlah el-Ibrahim sebagai penyelia dan Prof. Madya Dr xxx sebagai penyelia kedua (saya rahsiakan namanya agar tidak jatuh mengumpat)

Penyelia kedua ini amat terkenal sangat ‘bias' atau berat sebelah dan menindas semua pelajar bukan Arab. Tanyalah keluaran Fiqh dari Univeristi Yarmouk, Jordan, pasti mereka akan bersetuju.

Rakan-rakan arab pelik dengan sikap saya. Saya akan pastikan kualiti tesis saya tidak akan dapat dinafikan oleh Prof. Madya Dr xxx. Akhirnya, beliau hanya memberikan sedikit komentar dan soalan mudah ketika ‘viva' berlangsung. Lebih menarik, beliau mengakui banyak manfaat baru dari tesis saya. Pujian bagi Allah.

Universiti memberikan kebebasan saya untuk mencadangkan professor penyemak dan pendiskusi tesis. Saya sekali lagi mencabar ilmu dan memotivasikan diri saya dengan memilih ulama yang sukar-sukar, biar saya tercabar.

Saya pinta Prof Dr Abd Naseer Abul Basal sebagai penyemak pertama dan Prof Syeikh Dr Abd Malik As-Sa'di dari Universiti Mu'tah sebagai penyemak kedua. Alhamdulillah Allah izinkan saya berjaya.

Saya juga sempat membuat semakan ringkas dengan Syeikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qaradawi untuk memastikan kandungan tesis saya boleh diterima oleh ulama seperti beliau. Alhamdulillah beliau gembira dengan kandungan tesis saya serta memberikan beberapa ‘mulahazat' atau komentar ringkas dan beberapa penghargaan.

Cabaran & Motivasi Bahasa Inggeris

Ketika saya pulang dari Jordan, semua minda saya berbahasa Arab. Bahasa Inggeris sudah hampir pupus dari minda. Menganggur hanya seminggu selepas pulang dan terus bekerja sebagai Eksekutif & Kaunselor Syariah di Ingress Corporation. Kerjaya ini tidak banyak membantu bahasa Inggeris saya, semuanya di dalam bahasa Malaysia.

Beberapa bulan selepas itu, seorang rakan saya berkata bahawa RHB Islamic Bank baru ditubuhkan dan memerlukan Pengurus Syariah. Tetapi beliau tidak yakin saya mampu kerana mereka perlukan ‘English'. Interview juga di dalam ‘English' katanya. Saya terasa tercabar dan dalam masa yang sama saya memang amat ingin mendalami operasi perbankan Islam semasa tetapi saya juga risaukan adalah ‘English' yang betul-betul sudah dilupakan.

Saya faham bahasa Inggeris amat penting bagi seorang pendakwah. Dunia Islam terlalu kurang pendakwah dan ilmuan Syariah yang mampu menulis dan bertutur di dalam bahasa Inggeris. Sehebat dan sebijak al-Qaradawi masih tiada kemampuan bertutur dan merujuk mendalam buku berbahasa Inggeris.

Saya tercabar dan memotivasikan diri. Perancangan dibuat bagi mencapai misi saya. Rakan dan sahabat saya menasihatkan jangan terlibat dengan bank kerana ia adalah satu industri yang tidak ‘mercy' katanya. Tiada belas kasihan kerana kesibukannya akan menghalang saya dari berdakwah.

Saya berjaya akhirnya berkhidmat di RHB ISLAMIC Bank Berhad. Dokumen perbankan semuanya di dalam ‘English'. Saya diperlukan untuk menyemak setiap baris bagi memastikan ketepatannya dengan hukum Syariah. Tahap ‘English' yang digunakan oleh para peguam dan pegawai bank untuk semua dokumen perbankan bukanlah sesuatu yang mudah. Khususnya ia mempunyai banyak istilah-istilah khas yang perlukan huraian lebih lanjut.S

Cuma sedikit kekurangannya, di RHB Islamic Bank saya sering berbincang dan melaporkan tugasan kepada boss saya yang berbangsa Maleyu, ini menjadikan saya lebih selesa berbahasa Melayu.Namun apabila saya berpindah kerjaya di Asian Finance Bank Ltd (Qatar Islamic), saya perlu melapor kerjaa terus kepada CEO yang merupakan warga Bahrain. Semua meeting dibuat di dalam English, manakala meeting Shariah dilakukan di dalam Arab sepenuhnya. Satu kerjaya yang sukar tetapi memberikan banyak kelebihankepada saya kerana dapat mengasah kedua-dua bahasa sekaligus.

English saya di tahap biasa, ujian IELTS mencatatkan kemampuan bertutur saya hanya pada tahap Band 7. Usaha masih berterusan bagi meluaskan dakwah di seluruh dunia selepas ini. Untuk perolehi pahala yang meluas di seluruh dunia, Bahasa Inggeris dan Arab diperlukan. Saya akan ke sana insyaAllah..Mari bersama saya mengorak langkah. Oraklah langkah dengan perancangan dan bukan secara spontan TANPA HALA TUJU JELAS.

Motivasi & Saya Lagi

Demikian beberapa coretan peribadi berkaitan motivasi diri saya. Terlalu banyak sebenarnya, tetapi saya tidak pandai mengolah, kurang minat menulis hal peribadi dan kekurangan masa. Cuma atas permintaan dan pertanyaan pengunjung web ini, saya cuba kongsikan apa yang sempat dan mampu.

Semua manusia perlukan motivasi. Nabi Muhammad s.a.w diberikan motivasi melalui Isra Mikraj.

Nabi Ibrahim juga memohon motivasi dari Allah. Lihat bagaimana permohonan Nabi Ibrahim :-

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي

Ertinya : "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: ""Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati"". Allah berfirman: ""Belum yakinkah kamu?"". Ibrahim menjawab: ""Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)"". " ( Al-Baqarah : 260 )

Kita semua perlukan motivasi, motivasi yang unggul adalah motivasi untuk mendapatkan redha dan syurga Allah.

Sebagaimana nabi dan sahabat baginda. Allah s.w.t mencatatkan betapa bermotivasinya mereka mengejar keredhaan dan syurga Allah dengan firmannya :-

خِتَامُهُ مِسْكٌ وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

Ertinya : "tempat penamat yang harum semerbak kesturi (syurga); dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba" ( Al-Mutaffifin :26 )

Lihat Allah s.w.t ingin kita sentiasa bermotivasi untuk mencapai kebaikan syurga. Berlumba-lumba. Manusia sering berlumba bagi perolehi nikmat sementara dunia, harta, nama dan pangkat.

Ingatlah sekaya-kaya Lim Goh Tong yang memiliki billion ringgit wang juga tidak dapat menangguhkannya dari kematian. Tidak juga boleh merasuah Allah s.w.t untuk memberikan kontrak hidup untuk 3 tahun lagi.

Jadilah dan kejarlah redha dan pahala untuk kehidupan selepas kematian. Rancanglah dan fikirlah.

Jangan jadikan pujian manusia sebagai motivasi unggul kerana ia akan mencelamu dikemudian hari.

Jangan jadikan duit sebagai motivasi unggul kerana ia akan hilang dan habis.

Jangan jadikan pangkat sebagai motivasi unggul, kerana ia juga akan tamat dan dihasadi.

Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi unggul, kerana ia akan mati jua.

JADIKAN ALLAH, RASULNYA DAN SYURGA YANG DIJANJIKANNYA SEBAGAI MOTIVASI, NESCAYA ALLAH TIDAK AKAN MATI DAN JANJINYA TIDAK AKAN MENGECEWAKAN.

Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi.

Web & Motivasi

Saya bermotivasi untuk membuat pengisan di web ini hanya kerana merasakan ia mampu membantu akhirat saya. Saya dan keluarga ingin selamat di akhirat, saya ingin selamat di barzakh, saya tahu saya perlu letih untuk itu.

Saya syukur kerana web yang baru berumur setahun jagung ini sudah punyai pelawat yang boleh tahan ramainya. Saya amat gembira kerana melaluinya saya mampu menyampaikan ilmu walaupun saya sedang tidur, ketika saya sedang bertugas. Setiap detik pelawat memanfaatkan ilmu di web ini.

"Larat enta update web ye," kata Ust Khairuddin Aman Razali kepada saya ketika bertandang ke Darul Fuqaha untuk berforum.

Saya menjawab seperti di atas. Gembira melihat ramai yang sudi membaca dan memanfaatkan tulisan kita, beribu-ribu. Sukar sekali ceramah boleh dihadiri oleh seribu pendengar. Melalui web saya berjaya. Ia adalah ilmu yang boleh memanfaatkan saya di barzakh dan akhirat, insyaAllah. Sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w.

Masih segar di ingatan saya, ketika saya sedang sibuk bekerja di bank, saya menyuarakan hasrat untuk punyai web sendiri kepada seorang sahabat yang amat popular di dunia penulisan internet. Sehingga hari ini blog beliau punyai pelawat yang amat ramai. Tatkala itu saya ‘buta' ilmu berkenaan blog dan ‘web site' tapi hasrat itu ada. Kerja di bank sudah berat, ditambah kursus dan ceramah luaran lagi mungkin menyebabkan sahabat ini berkata

"orang macam anta ni, kurang sesuai ada web site"

Begitulah isi kandungan kata-kata beliau, maaf jika lafaznya kurang tepat. Beliau menasihati saya agar tidak melibatkan diri dalam dunia web kerana katanya:

"web yang tidak kerap diupdate seperti sesuatu yang telah mati"

begitulah lebih kurang maksudnya yang meragui kemampuan saya untuk membuat pengisian web disebabkan aktiviti saya.

Telah saya katakan, jika saya minat dan mendapati sesuatu itu memberi manfaat kepada akhirat saya. Pasti akan saya lihat ayat-ayat negatif seseorang itu sebagai positif dan motivasi.

Demikian jugalah yang berlaku kepada nasihat ikhlas sahabat tersebut. Saya anggap sebagai motivasi diri.

Akhirnya saya punyai blog atau ‘website' sendiri (maaf jika anda ingin berdebat berkenaan kalimah web dan blog, saya memang tidak ambil kisah akan perbezaannya).

Selain itu, saya luaskan jangkauan web dengan menubuhkan zaharuddin yahoogroup yang kini dinggotai oleh 2800 orang sehingga amat sukar untuk saya memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang kebanyakkannya memerlukan huraian. Sistem sms 33221 ( sistem ini TELAH SAYA TUTUP SETAKAT INI - 20 april 09) - juga tidak pernah kering dari soalan pelbagai jenis, email saya juga diserang hebat sehingga menyebabkan forum percuma saya terbengkalai. Biarlah, sudah ‘over limit' kemampuan manusia biasa. Biar ia sampai di limit, barulah saya berhenti.

Tugas UIAM & Masa

Bertugas di UIAM, dari satu sudut kelihatan kurang tugasan berbanding bertugas di industri korporat sebelum ini..tetapi rupanya tugas saya semakin bertambah. Hari ini Pengerusi, CEO dan orang kuat sebuah syarikat MLM Bumiputra datang ke UIAM bertemu saya dan rakan baik saya Dr A.W. Meminta kami membuat sejarah dunia kewangan Islam runcit iaitu dengan memperkenalkan model Skim MLM Islamik. Mereka kelihatan bersungguh tetapi ‘blank' tentang model alternative MLM, bantuan kami ditagih untuk menggubal konsep baru MLM.

Saya sudah semakin risau dengan masa saya, sebuah Bank Islam sudah melantik saya sebagai ‘External Syariah Advisor', tugasnya banyak sudah tentu. JAKIM melantik saya sebagai panel bengkel menggubal sukatan Fiqh Muamalat untuk guru takmir seluruh Malaysia, demikian juga Jabatan Mufti Kedah untuk seluruh tawliah negeri Kedah. Beberapa syarikat luar Negara sudah mula meminta tarikh untuk memberikan bantuan dan latihan ilmu Kewangan Islam di sana.

Orang sana minta Kursus Solat, orang sini minta buat kursus Kewangan & Perbankan Islam, dan orang situ pula minta buat kursus etika dan budaya kerja Islam. Orang di atas pula minta bentang kertas kerja di majlis ilmuan Syariah, orang di kanan pula minta semak silibus, orang di hujung pula minta jadi kolumnis sebuah newsletter berbahasa Inggeris, orang di tepi pula minta jadi editor luaran majalah. Semuanya hakiki dan realiti, pengunjung web pula minta "cepat ‘update' ustaz". Penyoal soalan hukum minta cepat jawab, peminta nasihat kaunseling keluarga, minta "ustaz cepatlah tolong selesaikan masalah saya, apa saya nak buat?", dan banyakkkkk lagi.

Ya Allah aku hanya seorang manusia, permudahkan urusanku demi perolehi redhamu. Berikanku kekuatan membantu mereka yang memerlukan.

Doakan kami mampu melakukannya untuk ummat. Jika anda merasakan saya sangat sibuk, NO!, saya belum sibuk berbanding ramai lagi pejuang Islam di Malaysia dan dunia dalam pelbagai bidang. Saya hanya baru 35 % sibuk berbanding mereka.

Jangan bimbang untuk menjemput dan bertanya kepada saya. No problem, InshaAllah saya masih mampu mengurus. Itu salah satu kelebihan yang saya perolehi dari Universiti Malaya dahulu. Belajar melakukan 10 kerja dalam satu masa, dengan siap dan berjaya. Ingin juga saya kongsikan berkenaan pengalaman tersebut, namun di lain masa. Ia juga adalah dituntut Islam, sebagaimana Nabi laksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa. Anda juga mesti berkemampuan untuk itu. Anda tentu boleh..

Saya masih ingat, terdapat seorang pelajar bertanya saya:

"ustaz saya tengok dalam profile ustaz, banyak betul kerjaya ustaz, mcam mana ustaz manage semuanya? Khususnya nak pastikan kualiti semua kerja terjamin"

Saya terdiam, tidak tahu dari mana untuk saya mulakan penerangan. Esoknya saya membuka semula profile saya, memang nyata agak banyak juga kerja dan tanggungjawab yang dipikul. Tugas itu sebenarnya belum lengkap dan mash ada yang belum atau tidak saya masukkan.

Namun, belum sampai masa untuk saya huraikan jawapan kepada soalan pelajar tadi. Sebahagian ulasannya telah pernah saya kongsikan dengan pelajar-pelara di Morocco semasa berceramah pada awal April 2009 yang lalu. Semua tugasan itu, boleh diurus jika kita berperancangan dan bermotivasi. Apa yang penting, rasakan itu sedikit dan masih ramai di luar sana yang jauh lebih berat dan panjang senarai kerjanya, dan cemerlang. Dengan melihat seseorang yang lebih berjaya, kita akan terhindar dari sebarang perasaan ujub dan tertipu oleh Syaitan. Allahumma amen.

Berapa Ramai Doa ?

Akhirnya, jika anda meninggal dunia kelak berapa ramai yang anda inginkan orang yang menyembahyangkan jenazah anda?. Sudah tentu kita inginkan lebih ramai bagi perolehi doa mereka.

Motivasikan diri anda bahawa kita tidak perlu terlalu bergantung kepada doa manusia yang hidup sahaja, malah kita juga boleh mendapat doa dari yang lain dari manusia berganda-ganda lebih ramai dan banyak.

Nabi s.a.w menyebut :-

إن اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السماوات وَالْأَرَضِينَ حتى النَّمْلَةَ في جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ على مُعَلِّمِ الناس الْخَيْرَ

Ertinya : Sesungguhnya Allah, Malaikatnya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan (Agama)" ( Riwayat At-Tirimizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sohih).

Al-Mubarakpufi berkata : maksud 'ilmu kebaikan' dalam hadis ini adalah ilmu agama yang dengannya manusia mendapat keselamatan di akhirat. ( Tuhaftul Ahwazi, 7/380).

Cukuplah hadis ini menjadi motivasi buat kita semua untuk berlumba-lumba mengajar kebaikan islam kepada orang lain. Pastikan anda telah pelajari dan fahami Islam dengan baik sebelum berbuat demikian.

Demikian coretan ringan saya yang tidak tersusun. Abaikanlah kelemahan bahasa buat sementara dan fokuskanlah kepada isi kandungannya, moga bermanfaat untuk dunia dan akhirat anda.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

12 Syawwal 1428 H

25 Oktober 2007

KEMAS KINI : 20 April 2009

Hujan Itu..

on Sunday, May 3, 2009

"ah...hujan lebat la kat luar..." pai menarik perhatian kami yang rancak berborak..

"laa...ujan plak dah.." khairan menyampuk.

"takpe la..dah lama tak ujan, duk panas aje..elok jgk tu.." jawabku cuba berseloroh..

"korang tau tak, paling dekat awan hujan boleh ditemui dari jarak 1,200 meter..dalam jarak tu, air ujan yang jatuh sama mcm kita jatuhkan benda seberat 1kg dari jarak 15cm..mujur la hujan tu jatuh dalam bentuk titisan..kalau tak, bayangkan la kita macamana.." aku cuba memberi fakta mengenai hujan yang aku pernah baca dalam internet..dan seperti biasa, mereka sekadar mengangguk..hehe...

dan kami semua terdiam, memerhati hujan..hujan yang diharapkan membawa rahmat, menyegarkan alam..mendamaikan suasana..

"ah..hujan ni macam paham aje apa yang ada dalam hati.." getus hatiku...

aku kembali menyambung kerja, menyiapkan laptop 'yang bergelimpangan' (huh betul ke istilah camtu) yang masih menunggu giliran untuk dibaiki..waduh...sambil mengeluh sesekali..mengenangkan keje yang tak abis-abis menunggu..ada kala banyak..ada time takde keje langsung..biasalah, adat rezeki..lumrah orang bekerja sendiri..

kerja bermula dari pagi...kadang-kadang seawal jam 8 (waktu tak rasmi) kerana harus menyiapkan permintaan pelanggan yang mahu disiapkan segera servis..walaupun kedai biasanya hanya dibuka pada jam 1030-11.00 pagi, aku biasanya sudah memulakan dari awal lg..tak mahu bertangguh..terkejar-kejar..walaupun ada masanya aku hanya bersantai, menggunakan masa dan peluang yang ada untuk membuat sarapan sendiri, atau berbual2 dengan ahli keluarga yang lain, lawan game PS3 dengan adik bongsuku..

kita kadang-kadang tak sedar masa yang ada jarang dimanfaatkan sebaiknya..lebih-lebih lagi bersama dengan mereka yang dekat, dan hampir dengan kita..kita hanya sedar tentang semua itu bila kita sudah berjauhan..bila rindu pada aksi dan gelagat masing-masing..bila kita menyedari bahawa masa mungkin semakin membataskan kita untuk bersama dengan mereka..ketika itu, kita mula merasakan betapa pentingnya kita meluangkan masa yang ada untuk mereka..menghargai mereka sebelum terlewat, selagi hayat dan nyawa masih dikandung badan..

dan masih..di saat ini, hujan masih belum berhenti..aku berdoa agar hujan ini berhenti dengan membawa juga lara dalam hatiku yang masih tak terusik..aduhai..

Cerita Tentang Hati




"kamu ni nak tunggu bila lagi.." mak memulakan perbualan ketika kami bersarapan sama2 pagi tu..
"err..tunggu apa.." jawabku sambil berbasa basi..sambil menghirup air teh..

"ish..takkan nak duk camtu aje sampai tua.."mak menyambung, cuba memerangkap..
(aduss!! fikirku dalam hati...)

"dah tu..nak macamana lagi mak..tah la mak..tak tau la nak kata.."aku menjawab mendatar..

mak masih merenung aku..
"kakpah duk sibuk tanya..tak jadi ke nak jadi menantu dia.."

"segan la mak..keluarga dia tu jenis berharta.."aku cuba memberi alasan..

"mak tak kisah pun, asalkan ayin suka.."

"er..nanti la dulu.."aku menjawab sambil menghabiskan baki air teh yang ada..

perbualan ni sebenarnya dah berlalu lama dah..saja diungkit, dan tak tau kenapa malam ni hatiku terasa rawan..memikirkan tentang diri, tentang mak yang kesihatannya makin tak menentu..dan memikirkan masa depan yang masih tak pasti..

mungkin ada yang lain yang masih senasib denganku..masih mencari-cari..tercari-cari lagi apa yang mungkin diistilahkan 'kebahagiaan' oleh orang lain..hidup berteman, makan pakai terjaga, segalaya dikongsi oleh segala rasa dan kata..walaupun aku tak pinta keadaan aku masih dalam keadaan sebegini, mengenangkan bahawa di luar sana masih ramai lagi yang lebih tidak bernasib baik dari keadaan yang aku alami sekarang..

namun masih, persoalan itu tetap menjadi persoalan..bukan seorang dua, bahkan adik-adik yang belajar di kolej UM dan KIAS ni pun dah sibuk bertanya.."abg ngah bila lagi?" soalan keramat yang seboleh-bolehnya cuba dielakkan buat seketika dan sementara waktu..sesetengah orang cuba memujuk..'biar terlewat, asal jangan tersalah pilih'...soal tersalah pilih rasanya bukan persoalan..aku tau tak ada manusia yang sempurna..aku juga begitu, satu-satunya kesempurnaan manusia itu adalah kerana mereka punya kelemahan dan kekuatan..untuk disatukan, saling melengkapi..antara satu sama lain..

bukan juga aku tak pernah mencuba..tapi entah lah..ada saja halangan, ada saja aral yang melintang..sehingga kadang-kadang aku terfikir yang bukan-bukan..tapi aku tak menyesal, mereka yang aku pernah kenali, yang aku pernah sayangi..aku sentiasa harapkan mereka sentiasa bahagia, di mana pun mereka..dengan siapa sahaja..jika aku tak dapat memberikan kebahagiaan itu, biarlah mereka mengecapi kebahagiaan itu dengan cara mereka sendiri, dan kadang-kadang, mereka sebenarnya lebih berhak untuk mengecapi kebahagiaan itu, mungkin ada hikmah disebaliknya, aku akur walaupun gundah di dalam hati tak siapa yang tahu.. bagi mereka di luar sana yang sedang, dan masih di alam perhubungan, jaga dan bajailah hubungan yang terbina itu sebaiknya, kerana kita mungkin takkan temui lagi mereka yang sudi menyayangi diri kita dengan seikhlas hati, juga menerima kita seadanya berwajahkan diri kita yang sebenar..hargailah mereka, sayangilah mereka..

dan kalau benarlah jika kebahagiaan itu diukur dengan hidup berteman, maka biarlah untuk seketika..aku mencari damai di hati ini sendirian..

Yang Mana Satu Diri Kita??

on Saturday, May 2, 2009

Kita bukannya PANDAI untuk cakap orang lain BODOH

Kita bukanlah KAYA untuk cakap orang lain MISKIN

Kita bukanlah HANDSOME untuk cakap orang lain muka TAK HANDSOME

Kita bukanlah CANTIK untuk cakap orang lain TAK LAWA

Kita bukanlah BAIK untuk cakap orang lain JAHAT

Kita bukanlah ALIM untuk cakap orang lain LUPA SOLAT

Kita bukanlah KUAT untuk cakap orang lain LEMAH

Kita bukanlah BERANI untuk cakap orang lain PENAKUT

TAPI...

Kita adalah PANDAI jikalau kita sebarkan ilmu itu kepada orang lain

Kita adalah KAYA jikalau kita manfaatkan kekayaan kita kepada jalan kebaikan

Kita adalah HANDSOME jikalau kita tak meninggi diri

Kita adalah CANTIK jikalau kita sentiasa melihat kebaikan orang lain

Kita adalah BAIK jikalau kita mengajak orang lain kearah kebaikan dan menjadi contoh
dan tauladan orang lain

Kita adalah ALIM jikalau kita mengikhlaskan rutin seharian kita kepada-Nya

Kita adalah KUAT jika kita sentiasa membantu orang yang lemah

Kita adalah BERANI jikalau kita dapat mengawal nafsu dan rasa marah


Ingatlah! kita bukannya manusia yang hebat untuk mencaci dan mengutuk ciptaan-Nya.
Dia Maha Mengetahui.

Setiap apa yang diciptakannya mempunyai hikmah yang tersendiri.
Sedarlah . bukan senang nak jadi senang.

Pengenalan kepada Pemikiran Kritis

Penjanaan akal secara radikal, sistematik, universal, dan terkawal memungkinkan akal digunakan secara menyeluruh dan bersepadu ke arah mencari dan memperoleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Menggerakkan akal secara radikal, bukanlah bermaksud kita menggunakakan akal secara bebas dan sewenang-wenangnya. Ia juga bukan bertujuan untuk memaksa akal memikirkan sesuatu yang di luar kemampuannya, atau memaksa akal berfikir, dengan tiada terus hentinya. Radikal dalam konteks ini lebih menghala kepada usaha berfikir yang bersungguh-sungguh apabila sesuatu hal atau perkara memerlukan kita berfikir .

Islam tidak pernah menyekat kebebasan berfikir kepada umatnya. Malah dalam kebanyakan ayat al-Quran, proses berfikir itu begitu dititikberatkan dalam kebanyakan perkara, lebih-lebih lagi yang menyeru manusia agar berfikir, merenung, memerhati dan melihat tanda-tanda dan kebesaran Allah SWT. Jelasnya, Islam melihat proses dan kepentingan berfikir itu sebagai satu ibadah yang amat dituntut dalam kehidupan seharian.(1)

Manusia yang dicipta oleh tuhan sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi ini mempunyai berbagai keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Kelebihan dan keistimewaan ini ialah kerana manusia dikurnialan akal. Akal fikiranlah yang membezakan secara kualitatif, di antara manusia dan haiwan. Akal atau minda adalah sumber ilmu intelek (intellectual knowledge) yang menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan pentaakulan minda (akal). Akal adalah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Akal adalah merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang sangat berharga kepada hambaNya. Melaluinya manusia boleh membuat pentaakulan (rationalize), membentuk konsep (conceptualize), dapat memahami (comprehend) dan sebagainya. Untuk memiliki sifat ‘hikmah’ (wisdom), seseorang perlulah menjalani latihan penajaman minda dan pendidikan pembersihan akal.

Di samping dikaitkan dengan otak, hikmah juga dikaitkan dengan ‘qalbu’ atau hati manusia. Hati adalah sumber ilmu yang menghasilkan pengetahuan melalui ilham, taufiq dan hidayah (bisikan hati dan suara qalbu). Pemberian Allah S.W.T. kepada seseorang kerana bersihnya hati yang dimiliki. Hati mempunyai keupayaan pentaakulan dan daya faham seperti kemampuan akal, boleh mengesani dan menemui kebenaran. Pengetahuan yang diperolehi melalui mata hati dapat membezakan yang benar dari yang palsu, yang betul dari yang salah, kebaikan dari keburukan. Untuk memperolehi pengetahuan bersumberkan hati, seseorang itu perlu mempunyai hati yang suci dan ini dapat dicapai melalui latihan penyucian hati (purification of the heart). Sekiranya manusia dapat menggunakan akal dan hatinyanya dalam mengeluarkan buah fikiran, maka ia dikira sebagai telah menggunakan akalnya dengan bijak. Kemahiran mengggunakan buah fikiran yang baik dan berguna inilah yang bakal mengangkat darjat “keinsanan manusia berbanding haiwan”. Sejarah membuktikan bahawa manusia bertindak tanpa menggunakan akal dan buah fikirannya boleh terjerumus de dalam darjat kehaiwanan, bahkan lebih dahsyat daripada itu.

Keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang dibuat oleh manusia ada kaitan dengan kemahiran berfikir. Sekiranya keputusan dan tindakan itu membawa natijah positif kepada dirinya dan orang lain, ia dikatakan keputusan yang berhikmah dan bijaksana. Sebaliknya, jika keputusan tidak bermanfaat kepada diri, orang lain dan alam sekelilingnya, keputusan itu dikatakan tidak bijak atau tidak berhikmah.

Betapa perlu dan pentingnya aktiviti berfikir untuk diri manusia adalah jelas sebagaimana digambarkan di dalam maksud sebuah hadis Nabi “Berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat selama tujuh puluh tahun”. Manakala di dalam kitab suci Al-Quran perkataan yang merujuk kepada kata akar aqal disebut sebanyak 40 kali. Allah SubhanahuWataala (S.W.T) juga menempelak manusia yang tidak mahu berfikir. Apabila Allah S.W.T memberitahu manusia, “Lihatlah bulan, lihatlah langit, lihatlah bintang dan fikirkan”. Menyedari kebesaran Allah Taala melalui ciptaanya seperti bumi, bulan, bintang dan matahari adalah tanda seseorang itu sebenarnya menggunakan akalnya untuk berfikir. Justeru itu, berfikir adalah sesuatu yang menjadi tuntutan dan seharusnya dilakukan oleh manusia dalam setiap aktiviti dan tindak tanduk yang dilakukan. Namun bagitu, tidak ramai antara kita yang memahami pengertian serta selok-belok berfikir yang sewajarnya. (2)

Ciri Pemikiran Kritis

Ciri-Ciri Pemikiran Kritis
1. Reaktif
Seseorang yang berfikiran kritis akan sentiasa peka kepada perkembangan yang berlaku di sekitarnya. Ini diikuti dengan gerak balas yang positif dan bersifat segera. Buah fikiran selalunya datang setelah melihat sesuatu peristiwa berlaku. Selalunya sifat reaktif ini ditunjukkan dengan perlakuan seperti suka membuat ulasan, komen dan kritikan terhadap peristiwa yang berlaku.

2. Menilai
Berfikiran secara kritis juga menuntut kita supaya sentiasa membuat penilaian terhadap sesuatu perkara. Penilaian dibuat dari sudut kebaikan dan keburukan yang bakal diterima dari setiap tindakan yang dibuat. Biasanya penilaian adalah berdasarkan bilai yang mereka jadikan panduan hidup, seperti nilai agama bagi mereka yang beragama manakala yang tidak beragama menggunakan nilai moral sebagai landasan.

Perkara yang menjadi fokus penilaian adalah seperti berikut :
a ) Apa yang baik?
b ) Apa yang salah?
c ) Apa yang buruk?
d ) Apa yang hina?
e ) Apa yang halal?
f ) Apa yang haram? dan sebagainya.

3. Meneliti idea dengan fakta yang telah diketahui
Setiap idea yang dicetuskan lazimnya mempunyai asas fakta dan alasan yang munsabah. Fakta, alasan dan asas tersebut bergantung kepada pengetahuan sedia ada dan pengalaman seseorang tersebut. Setiap idea akan diteliti dengan fakta-fakta yang telah diketahuinya sebelum dizahirkan dan seterusnya dilaksanakan.

Kesimpulan

Asasnya, Pemikiran Kritis menjadikan kita lebih terbuka dalam menerima sesuatu, di samping cuba mempertimbangkannya semula, menganalisa secara kritis dengan mengambilkira pelbagai sudut. Ia juga memungkinkan pencernaan beberapa idea dan konsep baru.

Ilmu Pemikiran Kritis juga membolehkan selain menganalisa hujah (hujah yang kuat atau lemah, teori berguna atau menyangkalnya), kita juga berupaya berhujah dengan berkesan sekali. Hakikatnya ia mampu membuatkan kita berhujah dengan baik atau menganalisa hujah dengan lengkap.

Pemikiran Kritis menjadikan kita lebih kritis dan peka dalam mengkaji sesebuah hujah ataupun penyataan yang dikeluarkan secara pengucapan ataupun penulisan. Ia dapat menyedarkan kita bahawa sesebuah penyataan itu tidak semestinya benar walaupun konteks struktur penyataannya adalah betul.

Pemikiran kritis juga mampu membuka minda kita agar lebih menerima berbanding terus menolaknya secara falasi kejahilan. Kita akan lebih berkeyakinan dalam menangani permasalahan serta jelas dalam melihat sesuatu fenomena.

Walaupun penulisan ini menyentuh topik pemikiran kritis ini secara serba ringkas dan agak padat, namun amat diharapkan ia dapat membantu memahami topik ini secara tidak langsung, dan memberi kefahaman yang baik kepada semua.


Terima kasih.

(1) Mohd. Azhar Abd. Hamid (2001) Pengenalan Pemikiran Kritis & Kreatif. Johor Bahru : Penerbit UTM Skudai

(2) http://www.educ.upm.edu.my/~gm/berfikir.htm

(3) http://www.geocities.com/CapeCanaveral/Galaxy/1483/pemikiran_kritis.html

(4) http://www.angelfire.com/wa/anis/pkritis.html


Salam Permulaan

salam untuk semua..

sebagai post sulung pembuka bicara, rasanya tak ada apa yang ingin diluahkan secara khusus..sekadar menjadikan post ini sebagai intro a.k.a mukaddimah..

apa pun, yang pastinya..post ini juga bukannya sebagai penamat..andai masa dan peluang itu dipermudahkan, insyaAllah akan berterusan juga..walaupun sedikit. bermula dengan sedikit, harapnya akan diberi iltizam untuk menambahkan kekerapan 'update' dan 'posting' (apa bahasa melayunya ya?he..) walaupun sebenarnya saya sendiri masih tidak tahu lagi bagaimana blog ini akan dibentukkan corak dan suasananya..dan secara jujurnya, saya secara peribadi jarang berkongsi rasa dan hati dalam bentuk umum begini.. :)

apa pun, selamat datang saya ucapkan, terutamanya kepada diri saya sendiri ke alam blog tanpa batas dan sempadan ini, dan kepada pengunjung sekalian..moga ia bakal menjadi medan untuk saya dan semua berkongsi ilmu dan pengalaman..mana tahu, apa yang tercetus dan dicetuskan disini mampu merubah sesuatu di masa hadapan!


salam manis,