Bila Burj Dubai Bertukar Menjadi Burj Khalifa.
Oleh : Fudzail, Dubai, UAE
Biodata : Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000 dan terlibat secara langsung dalam pelbagai projek mega seperti Dubai Internet City, Dubai Media City, Palm Jumeirah, Palm Jebel Ali, International City, Discovery Gardens, Dubailand.
Tanggal 4 Januari 2010 menjadi sejarah unggul emiriah Dubai apabila struktur tertinggi planet bumi dirasmikan sempena ulangtahun ke empat penobatan Sheikh Mohammad Al Maktoum sebagai Emir Dubai. Dalam kemelut hutang yang mencecah Dhs80 bilion, menara setinggi 828 meter ini diharapkan dapat memulihkan nasib dan reputasi emiriah kedua terbesar dalam persekutuan UAE.
Satu generasi sebelum ini, Dubai hanyalah sebuah kampung nelayan yang sunyi. Kemudian bangkit sebagai pusat kewangan dan bisnes Timur Tengah yang menempa kejayaan demi kejayaan, terutama dibawah kepimpinan Sheikh Mohamed Al Maktoum sejak menjadi Putera Mahkota lagi.
Sebelum itu, visi ayahanda beliau, Sheikh Rashid Al Maktoum dengan pembinaan prasana seperti pelabuhan, lapangan terbang, creek, zon dagangan bebas dan polisi ramah bisnes menjadi asas pada kemakmuran Dubai yang tidak mempunyai sumber minyak yang banyak seperti Abu Dhabi.
Setelah lima tahun dalam pembinaan dan dikenali sebagai Burj Dubai, malam perasmian memberi kejutan apabila menara itu kini dikenali sebagai Burj Khalifa, mengambil sempena nama Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan. Keseluruhan kos pembangunan projek Burj Khalifa seluas 500 ekar adalah Dhs20 bilion. Kos strukturnya sahaja dalam USD1.5 bilion.
Burj Dubai dianggap kemuncak pembangunan pesat Dubai sedekad lalu walau krisis ekonomi akhir tahun 2008 membantutkan banyak pembinaan hartanah dan hiburan mega lain seperti Dubailand, Palm Jebel Ali dan Jumeirah Gardens. Pernah Sheikh Mohamed Al Maktoum mengatakan yang apa yang dilihat hanyalah 10% dari visi beliau!
Disebalik tanggungan hutang yang membebankan, upacara perasmian Burj Khalifa dibuat dengan penuh gemilang dimana 10,000 bunga api, pancuran air dan pancaran laser mencerahkan langit dengan persembahan yang menakjubkan. Penghuni Dubai bersesak untuk menyaksikan perasmian dan terlupa seketika mengenai krisis serta cabaran lebih besar tahun 2010. Meninggalkan pelbagai peristiwa tahun 2009 yang memberikan gambaran sebenar disebalik kilaun pembangunan rancak Dubai sepanjang dekad lalu.
Perasmian sktruktur se gah Burj Khalifa tanpa kehadiran Presiden yang namanya diabadikan membawa pelbagai spekulasi. Abu Dhabi baru-baru ini mem'bail-out' Dubai saat-saat akhir dengan pinjaman USD10 bilion untuk membantu membayar hutang anak-anak syarikat kerajaan Dubai seperti Nakheel dan Dubai Holdings.
Menurut lapuran media barat, pinjaman itu tentunya datang dengan syarat-syarat tertentu. Pelbagai andaian timbul kerana dua emiriah besar dan berpengaruh dalam UAE ini sering kelihatan saling bersaing dan berselisihan. Sheikh Mohamed Al Maktoum beberapa kali menafikan timbulnya krisis antara mereka dan menyatakan berulang-kali yang keduanya adalah adik beradik. Sesuatu yang tidak kedengaran dari pihak Abu Dhabi.
Dikatakan antara tawar-menawar untuk membantu Dubai melunaskan tanggungan hutang ialah beberapa aset penting dan strategik Dubai mestilah dibawah kawalan Abu Dhabi. Selain beberapa kuasa eksekutif bertukar tangan. Semua andaian dan spekulasi ini menjadi sebahagian dari perbualan awam di mana-mana.
Abu Dhabi adalah emiriah terkaya dengan simpanan hasil minyak antara yang terbesar di dunia dan simpanan dana yang amat besar, dikatakan USD700 trilion. Menjadi tunggak UAE di mana ibukota UAE adalah Abu Dhabi. Dubai mempunyai kuasa eksekutif sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri. Pengagihan kuasa antara Abu Dhabi dan Dubai adalah termaktub dalam perlembagaan dan emiriah lain tidak mempunyai kuasa untuk mengubah apa-apa.
Abu Dhabi lebih bersifat sederhana dalam banyak perkara, manakala Dubai memang agresif. Tidak heran ramai yang lebih kenal Dubai dari Abu Dhabi mahupun UAE sendiri. Ini kerana imej hebat Penerbangan Emirates dan Pelabuhan Dubai yang mempunyai rangkaian pelabuhan sedunia, selain kota Dubai yang bersih, aman dan glamor.
Sememangnya pembinaan Burj Khalifa adalah terlalu besar untuk tergendala kerana maruah Dubai akan lebih terjejas teruk. Tahun lepas ada pengumuman sebuah lagi menara yang mahu dibina setinggi 1 km oleh Nakheel. Projek itu terbantut sebaik krisis ekonomi menelanjangkan keadaan kewangan Dubai. Kalau tidak, Dubai akan mempunyai dua menara tertinggi dunia, sesuatu yang membazir dan tidak diperlukan sama sekali.
Dengan perasmian struktur tertinggi dunia yang mempunyai 160 tingkat berpenghuni, 57 lif terpantas akan serentak memberi cabaran lebih besar untuk memenuhi 160 unit bilik mewah hotel dan 1,044 buah unit apartmen apabila sektor hartanah Dubai masih teruk merudum. Banyak projek tergendala dan lebih banyak bangunan kosong di mana-mana.
Ramai ekspatriat Dubai yang kehilangan kerja dan banyak kereta ditinggalkan di lapangan terbang kerana mereka pulang tanpa mahu membayar hutang. Dikatakan penduduk Dubai berkurangan dalam tahun 2009 walau kesesakan jalanraya masih belum berkurang.
Harga sewa rumah dan apartmen yang pernah menjadi isu besar sebelum krisis ekonomi kini kembali ke harga sebelum krisis. Malah di mana-mana banyak kelihatan iklan 'rumah untuk di sewa.' Tuan rumah yang selama ini tamak dan sombong kini terpaksa menurunkan harga sewa dari kehilangan penyewa yang mempunyai banyak pilihan.
Syarikat pemaju Burj Khalifa, Emaar telah menjual sebahagian besar unit apartmen dalam masa 2 hari dalam tahun 2004 ketika hartanah melonjak ke taraf luar biasa. Sewaktu kemuncaknya dalam tahun 2008, satu kaki persegi bernilai RM10,000.
Seperti nilai hartanah lain di Dubai yang jatuh 50%, harga sekaki persegi di Burj Khalifa dijangka akan terus menjunam 30% lagi.
Cabaran sebegini akan menjadi ujian besar untuk memulihkan kepercayaan kepada Dubai oleh para pelabur yang sudah ramai kerugian. Malah perbankan dan kewangan dunia juga akan sama memerhati sejauh mana Burj Khalifa akan dapat memulihkan kedudukan Dubai.
Sheikh Mohamed turut mengheret ramai eksekutif anak-anak syarikat kerajaan Dubai ke mahkamah atas tuduhan korupsi. Antara mereka ialah tokoh-tokoh dan pemimpin korporat yang sebelum ini berprofil tinggi.
Lebih mengejutkan dalam satu perstrukturan semula apabila antara yang disingkirkan dari kerusi lembaga pengarah Dubai Investment Corporation yang menjadi tunjang pelaburan Dubai (seperti Khazanah) ialah Mohamed Gergawi (pengerusi Dubai Holding dan menteri), Mohamed Al Abbar (pengerusi Emaar) dan Sultan Sulayem (pengerusi Dubai World) yang sebelum ini menjadi ‘poster boys’ pada pembangunan pesat Dubai.
Hanya Mohamed Al Abbar, manakala Gergawi dan Sulayem tidak kelihatan di majlis perasmian Burj Khalifa.
Ironis sekali apabila Burj Khalifa menjadi ikon kemegahan turut juga membawa simbol saling bercanggahan. Ketinggian Burj Khalifa membawa ekonomi Dubai rebah ke bumi. Apakah Burj Khalifa membawa petanda Dubai akan mengalami kejatuhan dan Abu Dhabi akan mengambil alih sepenuhnya peranan Dubai sebelum ini.
Begitulah kenyataanya, aspirasi Sheikh Mohamed al Maktoum untuk membawa Dubai terus ke mercu kejayaan sebagai pusat kewangan dunia memerlukan perancangan semula yang seperti bertukarnya nama Burj Dubai, memastikan Abu Dhabi bukan sahaja sebagai rakan tetapi bos!
Labels: Dunia
MUAT TURUN SLIDE DI SINI (FORMAT PDF)
Hari yang sungguh bermakna. Biar pun letih, tetapi pulang melangkah ke rumah dengan rasa yang puas. Tiga ceramah dalam sehari memang meletihkan. Tambahan pula hari bekerja. Tetapi keletihan hari ini berbaloi kerana saya beroleh keyakinan. Keyakinan yang menterjemahkan kemuncak cita-cita saya untuk HIDUP MEMBERI. Tengah hari tadi, saya telah menyampaikan ceramah bertajuk “Paradigma Islam Terhadap Pendermaan Organ”. Suatu tajuk baru yang menuntut saya untuk membuat persiapan sebaik yang mungkin. Tetapi proses menyiapkan ceramah ini bukanlah untuk mengajar atau menyampaikan sesuatu kepada pendengar semata-mata, tetapi ialah adalah untuk membina keyakinan saya sendiri. Keyakinan untuk menjadi penderma organ.
Saya amat tersentuh apabila Sister Norsalina Osman selaku Pengurus Bahagian Pendermaan Organ IJN menghubungi saya untuk berbincang tentang hal ini. Beliau menunjukkan kepada saya gambar-gambar beliau dan pasukannya semasa membuat kempen pendermaan organ di Kuil Maha Vihara pada hari Wesak yang lalu.
Sambutan yang diterima sungguh hebat dan hari itu, pasukan Pendermaan Organ IJN menerima pendaftaran penderma organ pada jumlah yang sangat memberansangkan. 150 orang mendaftar termasuk dua orang yang melakukannya sempena hari ulang tahun kelahiran mereka.
Saya beragama Islam. Agama yang cantik, indah, dan rahmat bagi sekalian alam. Agama yang datang untuk manfaat manusia. Agama yang memberikan manusia keperluan hidup mereka agar kehidupan manusia bukan hanya pada memikirkan soal diri sendiri, tapi segalanya berjemaah. Kerana Islam agama kebersamaan.
Tetapi di manakah silapnya hingga statistik penderma organ orang Melayu yang umumnya mewakili kaum Muslimin, terlalu kecil? Cina 64%, India 22% dan Melayu hanya 8%. Sedangkan Melayu dan Muslim juga mewakili senarai mereka yang memerlukan organ kerana mereka juga sakit dan sihat seperti orang lain
Sumber: Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur. Statistik sehingga 30 November 2005
MENGAPA SAYA MENDERMA ATAU TIDAK MENDERMA?
Saya cuba mencungkil hal ini dan memulakannya dengan bertanyakan soalan itu kepada diri saya sendiri. Mengapa saya tidak menderma? Adakah kerana agama? Saya telah meluangkan masa kira-kira seminggu meneliti perbincangan Ulama pelbagai negara, mazhab, pendekatan dan pendirian. Majoritinya sampai kepada titik noktah yang sama iaitu mengharuskan pendermaan serta pemindahan organ.
Apakah hujah-hujahnya meyakinkan? Ya, sungguh jelas dan meyakinkan. Malah fatwa-fatwa itu sudah matang kerana berbelas malah berpuluh kali Ulama bersidang mengenainya dan mereka terus konsisten pada menetapkan keharusannya.
Maka penjelasan dari segi agama, selesai. Islam bukan hanya mengharuskannya malah menganggap ia sebagai suatu kebajikan yang amat besar maknanya. Lantas agama tidak sepatutnya menjadi alasan kepada orang Islam untuk tidak menderma organ.
Apabila saya menyemak statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia, nyata sekali, agama bukanlah faktor utama yang menghalang kita menderma.
Sumber: Kaji Selidik IKIM: Majalah “Kefahaman Islam” Jan 2006 Bil 61 Muka Surat 18
Halangan utamanya ialah TAKUT. 56.3% mengakuinya. Takut ini puncanya pelbagai.
PUNCA TAKUT
Ada takut yang terbit dari keadaan tidak kenal mengenal. Kita memusuhi apa yang kita tidak kenal. Kita takut sesuatu yang kita tidak mengerti. Takut seperti ini mungkin kerana kurang maklumat. Kurang pendedahan. Maka takut seperti ini boleh dirawat dengan membekalkan maklumat seperti yang sepatutnya.
Namun ketakutan ini sukar untuk diubat jika majoriti kita masih terbelenggu oleh “Aku Tidak Pedulisma”. Tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling kita, tidak peduli pada segalanya. Saya percaya faktor ini juga merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah penderma organ Melayu Muslim yang menyedihkan.
KEKURANGAN NILAI
Ada takut yang terbit kerana kekurangan nilai tertentu dalam diri. Di sinilah saya cuba menguji diri. Saya bayangkan yang di hadapan saya ada sekeping papan yang saya letakkan sebagai penghubung di antara dua meja. Dengan ketinggian 1 meter dari lantai, sanggupkah saya menyeberang dengan melintasi papan itu? Nyata sekali saya sanggup. Tiada risiko. Jika meja itu ditinggikan setinggi sebuah almari, apakah saya masih berani? Mungkin saya sedikit teragak-agak tetapi boleh mencuba jika jelas apa tujuannya. Ada upah? Barangkali…
Tetapi beranikah saya jika dua almari itu diganti dengan bangunan 3 tingkat?
Jawapan saya jelas… saya tidak berani, dan saya tidak perlu untuk mengatasi ketakutan saya kerana tiada keperluan di situ.
Bagaimana jika ada keperluan? Bagaimana kalau di tingkat 3 bangunan di seberang sana itu, anak saya sedang menjerit meminta tolong? Tingkat 1 dan dua sudah dijilat api. Satu-satunya cara untuk anak saya diselamatkan adalah dengan saya pergi mendapatkannya sendiri. Dengan melintasi papan itu. Pada kadar setinggi 3 tingkat. Sanggupkah saya? Saya sanggup. Mengapa tadi tidak sanggup, kini sanggup? Apa yang mendorong saya untuk berani? Keghairahan apa yang membara di dalam diri ini?
KUASA KASIH SAYANG
Itulah nilai kasih dan sayang. Kerana sayang saya sebagai bapa kepada anak, saya sanggup melakukannya. Jelasnya, saya perlukan nilai untuk membakar keberanian. Nilai harta tidak bermakna. Nilai kemegahan dan nama tidak berguna. Tetapi kasih saya mencetus keinginan yang membara. The burning desire…! Sesuatu yang mustahil kita lakukan, jadi tidak mustahil apabila ia dijana dengan nilai kasih sayang. Apakah 56.3% ketakutan itu berpunca dari gersang nilai? Tiada kasih sayang dan semuanya hanya ada secebis kasih saya untuk mengasihi diri sendiri sahaja?
Nilai ini tidak boleh dibuat-buat. Tidak mungkin seorang yang hidupnya self centered, mementingkan diri sendiri, tidak peduli kepada orang lain, tiba-tiba mahu menderma organ atas perasaan kasih sayang. Sama ada seseorang itu pengasih, atau sebaliknya. Perasaan kasih sayang menjadikan kita suka memberi. Menjadikan hidup ini penuh erti dengan memberi, terbit dari rasa kasih dan sayang.
“Tidaklah sempurna iman sesiapa dari kalanganmu, sehingga dia mengasihi untuk saudaranya, apa yang ia kasih untuk dirinya sendiri” (Hadith Muslim)
Kesediaan memberi yang terbit dari kasih dan sayang adalah pelengkap yang menyempurnakan iman. Sebagai seorang mukmin, saya sepatutnya mempunyai upaya untuk menyintai lebih dari sekadar zuriat dan ahli keluarga semata-mata. Bahkan sesiapa sahaja yang beriman, adalah saudara saya yang berhak saya kasihi. Rasa kasih kepada saudara dalam iman, menjadikan hidup memberi penuh bererti. Memberi itu tinggi, dan ia mendatangkan kemanisan kerana pemberian hadir dengan rasa kasih.
Masa, tenaga, fikiran, harta benda, yang selama ini diberi di jalan kasihkan sesama mukmin, dilengkapkan lagi dengan dorongan untuk menjadi penderma organ kerana ia adalah sesuatu yang saya tidak perlu bawa ke kubur, malah boleh dimanfaatkan oleh saudara saya yang masih hidup. Ia adalah wala’ saya sebagai mukmin… Nilai kasih saya juga, menekan rasa takut untuk tidak mengganggu kefahaman saya di dalam soal pendermaan organ, biar pun organ itu mungkin akan diberi kepada orang yang tidak beriman.
Biar pun secara naluri, saya mahu keutamaan diberi kepada saudara saya yang beriman, namun biarlah Allah yang mengaturnya kerana organ ini adalah keperluan sekalian hamba-hamba-Nya. Jika Allah memberi kehidupan kepada hamba-hamba-Nya tanpa memilih di antara yang beriman dan tidak beriman, siapa saya untuk bersikap sebaliknya? Malah penghayatan saya kepada Islam sebagai agama Rahmat seluruh alam, menjadikan diri saya kasih kepada mukmin, dan prihatin kepada sekalian yang lain. Tidakkah Nabi SAW sendiri bangun ketika lalu di hadapannya mayat seorang Yahudi, atas alasan kemanusiaan…?
ALLAH MENGULANGI NAMA-NYA YANG PENGASIH
Benarlah, untuk melakukan suatu yang bersifat memberi, jiwa perlu kaya dengan kasih dan sayang. Bagi memudahkan hamba-hamba-Nya berperanan memberi, itulah ar-Rahman dan ar-Rahim, nama yang paling kerap diulang-ulang di dalam al-Quran. Allah sebagai Tuhan yang Rahman dan Rahim, Maha Memberi kepada makhluk-nya.
Maka untuk seorang hamba itu hidup memberi, suburkanlah perasaan kasih dan sayang itu di dalam diri, ia membakar keinginan agar membara untuk berbakti. Saya ada sedikit gentar dan takut, ketika menurunkan tanda tangan ke borang yang diberi. Tetapi saya lebih takut ke alam mati dengan amal yang tidak mencukupi. Saya lebih takut diseksa kerana berdosa semasa hidup, berbanding stigma terseksa kerana tubuh dibedah selepas mati. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana semua ini tidak bermakna lagi, selepas hidup berganti mati. Letakkan diri di alam mati, tahulah nilai hidup memberi.
.
Erti hidup di dunia pada memberi, erti hidup di Akhirat pada menerima… kurniaan Allah Rabbul Izzati. Semoga keputusan saya mendaftarkan diri sebagai penderma organ, boleh meyakinkan setiap insan yang saya temui, bahawa kemuncak tertinggi bagi sebuah hidup ini… adalah dengan mengertikannya pada MEMBERI..
BAGAIMANA SAYA MENURUNKAN TANDA TANGAN?
Saya telah berdaftar sebagai penderma organ dalaman sahaja. Ada pun kornea mata dan kulit, saya bimbang keluarga tidak bersedia dan mengalami trauma, walaupun saya tahu proses pemindahan organ dan tisu dilakukan dengan penuh penghormatan dan jenazah tidak akan dicacatkan sewenang-wenangnya. Anggota dalaman tidak mengapa. Setakat kesan jahitan tubuh, isteri saya sendiri adalah seorang doktor yang sudah melihatnya sebagai pemandangan biasa. Tetapi saya sudah berpesan kepada isteri. Tentang soal kornea mata dan anggota luar, biarlah beliau yang memutuskannya dari segi kesanggupan. Pada saya, selepas bercerai tubuh dan nyawa, segala-galanya tidak berguna lagi.
Teringat saya kepada kata al-Quran bahawa di Mahsyar, ada ibu yang sanggup korbankan anaknya sendiri, jika boleh digunakan untuk menyelamatkan diri. Memikirkan ayat itu sudah cukup pedih buat saya ketika ‘melihat’ betapa terdesaknya kita di Akhirat nanti. Jika menderma organ boleh menambah keselamatan saya di Akhirat, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya. Selepas mati, apalah sangat nilai yang ada pada buah pinggang, jantung, hati dan tulang, berbanding kesanggupan ibu mengorbankan anak sendiri, demi keselamatan nafsi-nafsi di Akhirat nanti.
Saya seru dari lubuk hati’ daftarkanlah diri sebagai penderma. Saya pun tidak tahu selepas mendaftar ni, adakah nanti fizikal saya sesuai dan boleh didermakan. Saya mungkin mati kemalangan, saya mungkin mengalami kerosakan jantung, hati, buah pinggang dan lain-lain. Tetapi dengan mendaftar sebagai penderma’ Insya ALlah dengan niat yang betul, ganjaran di Sana sudah tersedia.. Ayuh! Wahai insan yang kurang bekal, tambahkan amal banyakkan kebajikan. Sudikah anda bersama?
P/S : boleh daftar di http://www.rayma.com.my/giftoflife/signup.html atau pun datang ke Institut Jantung Negara. Hubungi Sister Noorsalina Othman di talian 03-2617 8471 atau pun pada hari Isnin dan Rabu boleh hubungi saya di extension 3113. Sampai di IJN, tanyakan sahaja ke kaunter pertanyaan, Insya Allah kami akan membantu.
setakat sampai akhir Mei, kaunter pendermaan organ ada disediakan di lobi IJN.
kalau kenderaan awam, boleh naik bas B114 Titiwangsa – Maluri, berhenti sama ada di perhentian IJN, atau Pusrawi jika datang dari arah Titiwangsa :)
http://saifulislam.com/?p=518
Labels: Dunia
Misteri istilah Wahabi
Perkataan Wahabi dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran lebih moden atau tafsiran yang agak western influence.
Clinton Bennet memasukkan Wahhabis dan Deobandis di bawah kelompok traditionalists yang bererti sekali gus berada di bawah aliran fundamentalist (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).
Sebahagian penulisan Barat melihat Wahabi sebagai aliran yang menganggap 'hanya Islam agama yang benar', wajib menegakkan Islamic State, adanya 'jihad' menentang kuffar dan ciri-ciri lain yang dianggap unsur 'padang pasir' sekali gus cuba dikaitkan dengan terorisme.
Di Malaysia pula, Wahabi adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau memfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham.
Bagi mereka, ia senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: "Siapa tak setuju dengan saya dia Wahabi".
Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: "Apa itu Wahabi?". Jawab tok imam: "Siapa yang mengkritik ustaz dia Wahabi". Maka tidaklah berani lagi 'penasihat' itu berbeza pandangan dengan 'tok imam' dan mempertikaikan infallibility ustaz, takut jadi Wahabi.
Di sesetengah tempat, seseorang dituduh Wahabi kerana menentang amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat.
Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar 'ustaz', bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka 'sang ustaz' itu dengan mudahnya akan menyebut: 'awak Wahabi'.
Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh Wahabi. Padahal kitab Melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: "(dan makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyeru segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya".
Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendiri, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata 'awak Wahabi'.
Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam.
Modal
Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk 'bisnes' mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan 'kartun' dan 'lucu'.
Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya 'awak Wahabi'. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin 'Abdul Wahhab.
Lebih buruk lagi apabila isu Wahabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai Wahabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau.
Nama sultan akan digunakan. Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat.
Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: "ini lebih bahaya kerana Wahabi". Apa itu Wahabi? Jawab mereka Wahabi itu Wahabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia 'aliran pengkafir umat' yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.
Di peringkat yang lebih tinggi, istilah Wahabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafii. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu Wahabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas. Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi: ''Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazmum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).
Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah 'mereka ini' apabila menjadi 'penasihat-penasihat' bank, bagi memenuhi keperluan bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab.
Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal 'sesetengah mereka ini' di luar mesyuarat bank yang ber'elaun' itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah Wahabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai Wahabi. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.
Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan pandangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan Muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum Cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai Wahabi.
Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok Wahabisme. Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu Wahabi dan sesat, yang tertutup itulah yang 'membolot segala kebenaran'.
Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan 'pereputan' kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan Muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.
Penentangan
Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalism vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang.
Bagi saya, bukan isu Wahabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat 'kedudukan' seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mesyuarat itu sebagai 'bank mazhab Wahabi'.
David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua accomodation or resistance. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh Wahabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap Wahabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain Wahabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.
Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti Perlis.
http://1426.blogspot.com/2009/07/misteri-istilah-wahabi.html
Labels: Dunia
Pada 2004, John Perkins menulis Confession of an Economic Hit Man – Pengakuan Tukang Pukul Ekonomi. Buku ini melakar bagaimana Perkins direkrut oleh National Security Agency (NSA) untuk menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.
Untuk menghalalkan tugasnya, Perkins telah dimasukan bekerja di sebuah syarikat konsultan ekonomi sebagai baju yang dipakai oleh Perkins kerana syarikat ini memiliki hubungan rapat dengan NSA.
Sebagai penasihat ekonomi, Perkins merayau-rayau ke Indonesia, Panama, Ecuador, Colombia, Arab Saudi, Iran dan negara yang dianggap memiliki potensi ekonomi.
Tugas Perkins cukup enteng: dia akan menasihatkan pemimpin negara-negara ini untuk membuat projek-projek mega (seperti projek Bakun).
Perkins tidak memiliki masaalah untuk bertemu dengan pemimpin politik negara-negara Dunia Ketiga kerana dia sedar bahawa pemimpin-pemimpin ini, apabila mendengar ada Mat Saleh ingin bertemu mereka, maka mulut dan buntut mereka ternganga luas.
Perkins dijemput untuk menghadiri pelbagai seminar dan mesyuarat (seperti Invest Malaysia 2009) dan dijemput dalam perbincangan percambahan pendapat.
Akhirnya Perkins akan membuat dan mengajukan kertas kerja dan cadangan untuk memunculkan projek mega.
Dalam masa yang sama, melalui Perkins, Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau bank-bank lain akan bersiap sedia mengeluarkan dana.
Projek mega ini cara "merasuah" para pemimpin dan kroni para politikus Dunia Ketiga. Projek-projek ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan ekonomi warga negara itu walaupun dengan lunak Perkins akan menggambarkan bagaimana projek mega ini akan memberi manfaat untuk rakyat. Ia hanyalah kelentong.
Kontraktor-kontraktor projek, perkakas pembuatan – semuanya didatangkan daripada nasihat Perkins. Projek ini akan menggunakan pakar-pakar 'Mat Saleh' yang dibayar dengan lumayan berbanding dengan pakar tempatan.
Perkins melahirkan pekerjaan untuk para Mat Saleh yang dipanggil 'pakar'.
Dalam masa yang sama, Perkins cukup sedar banyak dana ini akan masuk ke dalam poket para pemimpin negara ini - ia sebahagian daripada strategi Perkins. Ia perangkap yang sengaja dipasang.
Sedikit demi sedikit negara ini akan terhutang dengan lembaga-lembaga bank antarabanga – IMF, Bank Dunia, Bank Eropah dan pelbagai lembaga dana yang bekerja erat dengan Perkins.
Bunga dan hutang ini akan meningkat, lalu menambahkan lagi beban negara. Perkins akan mengusulkan cara terbaik untuk mencari dana agar dapat membayar hutang dan bunga.
Cadangan Perkins: subsidi mesti dihapuskan. Kawalan makanan dilupuskan, import dibesarkan. Barangan eksport dimurahkan.
Nilai ringgit dikurangkan dengan alasan akan menarik orang luar membeli barangan eksport.
Akhirnya – akan sampai suatu masa – hutang begitu menjerut untuk negara ini. Maka Perkins akan 'menasihatkan' para politikus agar Pertamina memberikan hak untuk Exxon menjalankan cari gali di Ambalat – mislanya yang terjadi di Indonesia.
Ia perangkap awal.
Jika pemimpin politik ini memiliki perasaan nasionalisme dan terus berdegil, maka akan dihantar apa yang di panggil 'the Jackals'. Mosaddeq di Iran menjadi mangsa pada 1953.
Presiden Guatemala pada 1954 menjadi mangsa agar bumi negaranya selamat untuk dijadikan ladang pisang United Fruits Company. Sukarno pada 1965, Ecuador pada 1981.
Mari kita melihat kes klasik sejarah Terusan Panama yang telah dimiliknegarakan oleh Omar Torrijos pada 1977. Kemudiannya, pada 31 Julai 1981, kapal terbang yang dinaikinya meletup di udara.
Sesudah Torrijos mati, Amerika kembali mendapat hak untuk meletakan tenteranya di Terusan Panama. Khalas.
Di negara kita sendiri perkara yang sama pasti berlaku. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilakar oleh Razak Hussein mengetepikan kepentingan pemodal antarabangsa. Kaum pemodal ini berasa kurang senang dengan dasar ini. Melalui media dunia, mereka terus mempertikaikan dasar ini.
Dasar ini juga dikritik oleh kapitalis nasional dan kapitalis komprador yang suaranya diwakili oleh MCA.
Ketika itu air, api, telekom, universiti, jalan raya, hospital, tanah Felda dan perbadanan kemajuan ekonomi peringkat negeri SEDC – semuanya milik orang ramai, yakni milik negara.
Kritikan dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Mak Jah peniaga warung di Gombak atau Pak Huseing pembuat budu di Pengkalan Chepa. Kritikan ini datang daripada kaum kapitalis yang tidak dapat membuat keuntungan maksimum.
Apabila Mahathir Mohamad naik, semua ini diubah. Untuk mendapat sokongan kapitalis komprador dan kapitalis nasional (baca: pemodal Cina), Mahathir telah menswastakan harta rakyat ini. Maka gembiralah dan berkendurilah kaum kapitalis ini.
Harta kekayaan mereka bertimbun-tambah. Laporan terbaru membuktikan bagaimana 58 bilion ringgit harta negara di tangan swasta, hanya 2 bilion ringgit sahaja yang menjadi milik Melayu.
Mahathir naik tocang apabila dinobatkan oleh kaum pemodal (kaum: Cina) sebagai penjana pembangunan. (Ia tidak ada sangkut paut dengan Mak Cik Limah di Felda Chomomoi atau Haji Timah tuan punya warung di Senawang) DEB hakikatnya adalah dasar ekonomi kapitalis yang penuh dengan percanggahan.
Dasar ini bercita-cita untuk memunculkan 'zaibatsu' Melayu atau Bumiputera. Ia hanyalah mimpi tegang yang tidak terpancut-pancut.
Cita-cita ini tidak mungkin tercapai hingga bumi meletup. Kalaupun tupai beranakkan gajah, dasar ini tidak akan tercapai!
Dasar DEB tidak akan berjaya kerana dalam hukum ekonomi kapitalis "apa boleh jual akan dijual, apa yang boleh dibeli akan dibeli".
Dalam ekonomi kapitalis, tidak ada agama atau bangsa. Setiap kali modal dilabur untuk Melayu, ia pasti akan bertalian dengan ekonomi Cina yang telah lama kukuh. Wang yang mengalir ini belum mengambil kira jumlah rasuah.
Tidak mungkin semua orang Melayu/Bumiputera akan dapat dikayakan. Pemodal memerlukan buruh yang boleh diupah murah. Pemodal memerlukan pengguna untuk membeli.
Kalau Melayu semua kaya, siapa pula yang akan menjadi buruh di ladang sawit, penanam padi, nelayan dan Minah Karan dan Mat Spanar?
DEB hanyalah satu kelentongan atau tipu helah - lubuk para politikus Melayu berkumpul membuat dasar atas nama Melayu.
Dengan bersandarkan kemelayuan, maka para politikus Melayu ini dapat 'merembat' harta negara.
Pada ketika DEB dimulakan, pergaduhan Melayu lawan bukan Melayu baru selesai (peristiwa 13 Mei 1969). Kapitalis nasional dan kapitalis komprador tidak berani menyuarakan tentangan pada ketika itu.
Mereka melihat dari jangka panjang kepentingan mereka lebih terjaga dengan dasar DEB ini. Anggapan mereka cukup tepat.
Siapa dia Lim Goh Tong, siapa dia Ananda Krishnan, siapa dia Vincent Tan?
Dasar untuk menjadikan 30 peratus harta kekayaan negara ini dimiliki oleh Melayu/Bumiputera adalah mimpi kosong dan dasar yang salah. Tidak perlu membuat kajian ilmiah – pergi sahaja keluar dari Kuala Lumpur dan lihat sendiri kehidupan orang-orang di kampung.
Memang betul ada perubahan. Kalau dulu, pada 1974, di Kampong Chenor (kampung saya) tidak ada elektrik dan air, hari ini telah ada.
Tetapi air dan elektrik kini dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Hospital dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.
Sekolah dan universiti dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.
Jalan raya dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Telefon dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Inilan perbezaannya.
Inilah hakikatnya.
Dua minggu dahulu Najib Razak telah membuat dasar liberalisasi. Perkataan LIBERALISASI ini perkataan hampeh - perkataan putar alam bertujuan untuk mengelirukan kefahaman yang tuntas kepada orang ramai terutama kepada Mak Cik dan Pak Cik Felda.
Liberalisai bermakna syarikat antarabangsa dibenarkan berniaga bebas dalam negara ini.
Dua hari lalu Najib telah mengubah satu jalur DEB. Kaum pemodal pasti akan mengalu-alukan dasar (baru) ini. Ertinya pasaran Malaysia terkangkang luas untuk dientot. Ertinya, tidak ada lagi halangan untuk sesiapa sahaja memiliki harta kekayaan negara ini.
(Kalau saya kapitalis, saya akan terpancut siang malam dan meleleh air liur melihat harta negara ini boleh dimiliki).
Kenapa Najib membuat dasar baru ini?
Cukup senang untuk memahaminya. Najib memiliki masaalah peribadi yang berat. Jangan silap baca, ia tidak ada sangkut paut dengan berat isteri Najib. Berat di sini bermakna berat dari segi politik.
Contohnya, parti yang dipimpin oleh Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Retak-retak kelihatan dalam gabungan Barisan Nasional. Dan paling menakutkan Najib apabila kaum kapitalis komprador dan kapitalis nasional (baca: pemodal Cina) telah menjauhkan diri daripada Najib.
Dalam masa yang sama media antarabangsa terus menghantui Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, wanita cun dari Mongolia. Media luar ini alat pembesar suara untuk memastikan kepentingan kaum pemodal antarabangsa terjaga rapi.
Kaum pemodal antarabangsa ini telah lama ingin merembat harta kekayaan negara ini. Hantu-hantu, polong-polong dan puaka-puaka ini perlu dijaga.
Najib wajib melakukan sesuatu. Seperti Mahathir menswastakan harta negara untuk kaum komprador dan kapitalis nasional, maka Najib menswastakan seluruh bumi Malaysia ini untuk kepentingan kelas kapitalis dari dalam dan luar negara - inilah hakikat dari dasar ekonomi yang akan dijalankan oleh Najib.
Di mana Perkins kaki pukul sedang bersemayam?
Jangan risau, si Perkins ini masih wujud. Perkins telah menghantar budak suruhannya dari Singapura. Lupakah projek mega, jambatan ketiga yang dicadangkan Najib sewaktu berkunjung ke republik itu?
"Perkins-Perkins" ini mungkin ada jaringan dalam Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri. Si Perkins ini mungkin masih bersarang di Tingkat Empat atau ingin pindah ke tempat yang lebih tinggi seperti di Menara Petronas.
Si Perkins sedang berselerak menjalankan tugas untuk memastikan kepentingan kaum kapitalis akan didahulukan.
DEB atau Dasar Pendekatan Baru ini semuanya tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada rakyat biasa. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Gopal pemandu teksi dari Segambut. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Swee Heng peniaga nasi itik di Jalan Petaling.
Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Hajah Limah pembekal kerepek ubi dari Sijangkang.
Rakyat biasa tidak berjudi di bursa saham. Rakyat biasa tidak tahu apa itu 'pink form'. Rakyat biasa tidak memahami turun naiknya Nasdaq atau Index Hang Seng. Rakyat biasa mahu keselesaan dan bukan mahu diikat dengan pelbagai gaya – cukai, tol, bil hospital, bil air, bil api, bil sewa rumah, cukai rumah – di mana mereka wajib dan dipaksa mengeluarkan duit yang tidak mereka miliki.
Dasar ekonomi terbuka dan terkangkang ini akan menjemput kapitalis antarabangsa – dengan alasan untuk melabur dan membawa modal. Hujah ini betul-betul daripada kertas kerja John Perkins. Beginilah cara yang digunakan oleh Perkins untuk memastikan sesebuah negara itu akhirnya akan dapat dijajah kembali.
Satu kerajaan yang baik adalah kerajaan yang berkiblatkan rakyat. Sebuah kerajaan yang adil tidak akan mempedulikan kepentingan kaum kapitalis kerana mereka menghisap darah warga negara. Dasar yang wajib dinobatkan ialah dasar kepentingan ramai mendahului kepentingan peribadi. Kepentingan ramai menjadi nakhoda dan juragan.
Kerajaan yang adil ialah sebuah pentabiran yang telus di mana dasar ekonominya akan menobatkan kepentingan kaum buruh dan tani kerana dari tenaga mereka inilah munculnya modal.
Modal muncul daripada tenaga manusia. Modal bukan wang ringgit. Wang ringgit adalah tanda nilai tenaga dan fikrah manusia. Modal datang daripada tenaga warganegara itu sendiri.
Modal bukan datang daripada IMF atau Bank Dunia. Duit daripada IMF atau Bank Dunia itu hasil rompakan tenaga kaum buruh dan tani dari seluruh dunia.
Justeru, dasar menjual Felda mungkin dilihat dapat mengumpulkan modal. Awas! Menjual Felda samalah seperti Lebai Sudin di Kuala Nerang yang hanya memiliki sebuah rumah dan tiga relung sawah.
Satu hari untuk membaiki atap rumahnya Lebai Sudin telah menjualkan tiga relung tanah sawahnya kepada...
http://www.malaysiakini.com/columns/107958
Labels: Dunia
Mahmoud Ahmadinejad (kiri) dan Barack Obama. |
TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, mahu mengadakan rundingan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, di hadapan media antarabangsa, lapor agensi berita di sini, semalam.
Ahmadinejad memberitahu mesyuarat dekan sekolah perubatan bahawa Iran akan memulakan aktiviti diplomatik 'pusingan baru' di tengah kedudukan baru kerajaan yang lebih kuat sekarang, lapor Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA).
"Saya akan pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan rundingan dengan menjemput Obama," kata Ahmadinejad yang menambah perbincangan akan dilakukan di hadapan media antarabangsa dan bukan secara tertutup.
Pentadbiran Obama sebelum ini menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan Iran tetapi turut mengkritik kerajaan negara itu berikutan caranya mengendalikan ketegangan dan rusuhan selepas pilihan raya presiden.
Minggu lalu, Obama berkata kerajaan Iran perlu memberi penjelasan akan segala tindakannya mengikut pandangan rakyatnya sendiri dan bukan pandangan dari sudut Amerika.
"Ramai rakyat Iran sendiri menganggap pilihan raya presiden baru-baru ini tidak sah. Belum terlambat bagi Iran untuk mengakui masih ada jalan damai yang akan membawa kestabilan dan kesejahteraan," kata beliau pada sidang akhbar di Rumah Putih.
Obama sebelum itu dikritik anggota Republikan seperti Senator John McCain dari Arizona dan Senator Lindsey Graham dari South Carolina kerana mengambil pendekatan 'berhati-hati dan pasif' ketika bercakap megenai penahanan, keganasan dan kematian aktivis pro demokrasi yang semakin bertambah di Iran.
Pegawai kanan kerajaan Iran termasuk Ahmadinejad, mendakwa negara seperti Amerika dan Britain mencampuri ha ehwal Iran.
Minggu lalu, Ahmadinejad berkata, pihaknya terkejut atas campur tangan asing dan memberi amaran akan bertindak balas jika ia berterusan.
"Tidakkah Obama kata beliau mahukan perubahan, jadi kenapa beliau campur tangan, mengapa beliau mengeluarkan kenyataan tanpa mengenal adab sopan?
Sementara itu, dua tokoh politik sudah menemui anggota keluarga mereka yang ditahan ketika rusuhan selepas pilihan raya.
Agensi Berita Buruh Iran (ILNA) pula melaporkan, seorang daripada mereka ialah bekas presiden Ali Akbar Hashemi Rafsanjani dan penyokong pemimpin pembangkang, Mir Hussein Mousavi.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090706010851/Article/indexworld_html
Labels: Dunia
Kematian Raja Pop Michael Jackson awal pagi ini akibat serangan jantung mengejutkan dunia dan dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada para peminat dan dunia hiburan antarabangsa.
Pegawai Koroner Long Angeles, Leftenan Fred Corral memberitahu CNN bahawa Jackson, 50, disahkan meninggal dunia dua jam selepas pasukan perubatan menerima panggilan dari rumah bintang tersebut.Michael dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Gary, Indiana. Dia merupakan anak ketujuh daripada keluarga sembilan orang.
Lima anak Jackson - Jackie, Tito, Jermaine, Marlon and Michael - membuat persembahan bersama pertama mereka dalam satu pertandingan nyanyian ketika Micheal berusia enam tahun.
Mereka muncul juara dan seterusnya menjadi kumpulan paling paling popular - The Jackson Five, dan kemudiannya The Jackson 5.
Michael membuat album sulungnya pada 1972, dan album Thriller pada 1982, yang terus menjadi lagu top 10.
Albumnya dijual sebanyak 21 juta di Amerika Syarikat dan sekurang-kurangnya 27 juta di seluruh dunia.
Penerima 13 kali Anugerah Grammy semasa hayatnya bergelut dengan pelbagai kontroversi, termasuklah dakwaannya memeluk Islam serta dituduh mencabul kehormatan seorang budak lelaki pada 1993.
Pada November tahun lalu, akhbar melaporkan, Michael memeluk Islam di rumah seorang rakannya Steve Porcaro di Los Angeles.
Turut hadir pada majlis itu penyanyi Yusuf Islam, pencipta lagu David Wharnsby dan penerbit album Philip Bubal.
Beliau dilaporkan memilih "Mikaeel" - sempena nama malaikat pembawa rezeki - sebagai nama Islamnya.
Abangnya Jermaine dilaporkan berkata, pemegang gelaran “penghibur sepanjang zaman” oleh Guinness World Records itu menunjukkan kecenderungan untuk memeluk Islam sejak awal 1990-an.Michael kaya raya apabila album ketujuhnya Thriller terjual 109 juta keping, membina sebuah rumah mewah di Los Angelas yang dilengkapi dengan taman tema dan zoo persendirian.
Kediamannya itu sering dikunjungi kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan menghidap penyakit yang tidak boleh dirawat.
Di situ beliau bergelut dengan kontroversi yang mendakwa beliau telah mencabul seorang kanak-kanak pada 1993. Beliau diseret ke mahkamah sepuluh tahun selepas itu.
Bagaimanapun, selepas perbicaraan panjang selama dua tahun, mahkamah telah membersihkan namanya dengan mengumumkan beliau tidak bersalah.
Michael menjadi kegilaan anak muda di seluruh dunia dengan suara dan penampilannya yang unik, selain gerak tarinya yang bertenaga di pentas - dikenali sebagai tarian robot dan moonwalk.
Terakhir beliau bergelut dengan tuntutan saman sebanyak AS$7 juta (RM25.26) oleh seorang kerabat diraja Bahrain, Sheikh Abdulla Hamad Al Khalifa kerana didakwa melanggar perjanjian untuk merakam album dan mengadakan konsert di negara itu.
http://www.malaysiakini.com/news/107266
Labels: Dunia