Nilai Dakwah di Dalam -Syurga Cinta-

on Tuesday, July 7, 2009



syurgacinta

Jodoh ada tiga jenis jodoh.

Jodoh dari Syaitan… berkenalan, berpegangan tangan, buat maksiat, mengandung lalu bernikah.

Jodoh dari Jin… berkenalan, bertepuk sebelah tangan, lalu dibomoh dan disihirkan sebelah pihak sampai tunduk mengikut kemahuan lalu bernikah.

Jodoh dari Allah… cinta berputik, masuk meminang dan langsung bernikah, itulah SYURGA CINTA.

Dialog di atas adalah kemuncak kepada perjalanan kisah yang dipaparkan oleh filem SYURGA CINTA arahan terkini Pengarah Ahmad Idham. Saya suka kepada dialog itu kerana ia meninggalkan sesuatu yang boleh dipegang oleh penonton sebagai teladan yang mahu diambil daripadanya.

Bersahaja, tidak berputar belit di dalam falsafah, senang dan dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat kita.

Saya berusaha untuk meluangkan masa menonton sebuah filem yang pembikinannya direncanakan berulang-ulang kali di ASTRO. Ia sebuah filem yang membawa mesej dakwah, kata Ahmad Idham dan David Teoh, justeru saya kira berbaloi untuk saya menonton dan cuba mempertimbangkan kesan dakwahnya seperti yang disasarkan.

Filem SYURGA CINTA mempunyai banyak peluang.

Peluang untuk melontarkan sesuatu yang boleh mencetuskan sebuah kesedaran. Tema yang dipilih bagus, seakan-akan sama atau berkebetulan pula dengan drama CINTA SEMPURNA yang sudah sampai ke kemuncak penggambarannya untuk tayangan di ASTRO OASIS Ramadhan ini.

Para pelakon yang menjayakan watak-watak di dalam filem ini juga mempunyai bakat dan potensi untuk memanfaatkan peluang tersebut. Awal Ashaari dengan wataknya sebagai Irham, Hadziq Tom Tom Bak dengan wataknya sebagai Ikmal dan Heliza AF5 yang membuat penampilan pertamanya di layar perak sebagai Cikgu Syuhadah, mereka bertiga mempunyai segala yang diperlukan untuk menjayakan filem ini.

Namun, demi ruang penambahbaikan, saya berpandangan yang filem SYURGA CINTA masih terbelenggu dengan masalah yang sama, seperti yang lazim ditemui di dalam filem-filem kita.

Masalah skrip.

Jalan ceritanya amat baik. Masakan tidak, saya sendiri berusaha menetapkan satu masa untuk menontonnya kerana jalan cerita yang dipromosikan oleh media.


Tetapi idea dan jalan cerita yang baik itu dimanifestasikan oleh dialog-dialog yang menunjukkan longgarnya kesungguhan panel skrip MIG membuat kajian agar ia tidak keterlaluan menjauhi dunia sebenar.


Irham dipotretkan sebagai seorang anak muda yang dibesarkan di UK semenjak kecil, kehilangan budaya dan cara hidup Melayu dan Muslim. Tetapi dialog-dialog beliau dengan dua rakannya si Zainal dan Alex agak keterlaluan dan saya yakin manusia-manusia seperti Irham di dalam kehidupan sebenar akan rasa pemikiran dan cara hidup mereka diperbodohkan melalui adegan 10 ke 15 minit pertama filem SYURGA CINTA.

Expression untuk Londoners atau English Oriented Malay yang terlebih dos menjadikannya seperti dibuat-buat, gagal memperlihatkan Irham sebagai anak Melayu yang membesar di UK. Hendak dikatakan bermotif lawak, ia tidak lawak. Mahu dianggap serius, ia nampak sangat tidak wujud di alam nyata.

Saya kira, cukuplah sekadar idea pergaulan bebas, alergik dengan orang bertudung dan kegemaran clubbing dipaparkan secara ala kadar. Tetapi tidak perlulah sampai menjadi kurang ajar yang bukan sahaja dalam konteks masyarakat Melayu Muslim di Malaysia, malah di kalangan English dan Londoners pun ia dikategorikan sebagai kurang ajar, dan bukannya being English atau Londoners.

Malah unsur kebaratan yang cuba ditonjolkan melalui bahasa Irham tidak konsisten dan hilang selepas 20 minit filem berjalan. Cepat benar accent beliau hilang ditelan Malaysia.

Mungkin di sini, peranan dialogue coach boleh dipertingkatkan.

Walaupun Ahmad Idham menafikan SYURGA CINTA sebagai meniru filem-filem lain yang hampir dengan idea filem ini, saya tidak dapat menafikan yang elemen filem KIAMAT SUDAH DEKAT dimasukkan secara ketara tanpa selindung. Misalnya perbualan di antara ibu dan bapa Irham (lakonan Dian P. Ramlee dan Mustafa Kamal) menyebut bahawa mereka sudah banyak berbuat kebajikan membantu anak yatim di Bosnia dan mengambil Ikmal sebagai anak angkat, kebajikan yang banyak itu pasti mengesahkan keselamatan mereka untuk masuk Syurga nanti.

Saya juga merasakan bahawa proses turning point Irham yang menimbulkan kesedaran pada dirinya tidak berjaya ditonjolkan. Tiada sebarang insiden yang benar-benar jelas memberikan impak sehingga Irham yang asalnya bertaruh dengan kawan-kawan untuk menggoda Cikgu Syuhadah berubah menjadi manusia hijrah yang meninggalkan Jahiliah kepada Islam. Tiada diskusi atau perbualan antara Irham dan Cikgu Syuhadah yang mempunyai impak anjakan paradigma.

Tidak dilupakan, kualiti dialog yang berlangsung di antara Irham dan Imam (lakonan Wazata Zain) di sebuah Surau.

Luahan hati Irham itu amat baik, tetapi nasihat yang diberikan oleh Imam ideanya mustahil dapat meredakan keserabutan fikiran anak muda seperti Irham. Ia berbelit-belit dan tidak jelas mesej yang hendak diberikan kepada Irham. Saya sendiri sukar menangkap apa sebenarnya yang cuba dinasihatkan oleh Imam berkenaan kepada Irham.

Malah terdapat kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku apabila Imam mengatakan sebuah Hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai Firman Allah dari al-Quran.

hadih-suwarikum

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu. Tetapi Dia memandang hati dan amal kamu” [Hadith riwayat Muslim]

Ia sebuah kecuaian yang mencacatkan kualiti idea dan dialog sebuah filem.

Akan tetapi saya memuji keberkesanan lakonan Awal Ashaari semasa Irham tertekan dengan pelawaan kawannya untuk meminum arak pasca kesedaran dirinya. Dalam keadaan yang keliru dan bingung, Irham hampir kalah dengan pelawaan itu tetapi tanpa sengaja beliau telah membaca Bismillah sebelum menonggang air setan itu, dan ia mengejutkan dirinya sendiri.

Kespontanan yang dipaparkan, melekat di kepala penonton.

Secara keseluruhan, saya berpandangan bahawa filem SYURGA CINTA adalah sebuah percubaan yang sederhana. Namun setelah membaca di review di internet, saya dapati begitu ramai penonton yang menyukai filem SYURGA CINTA ini dan terkesan dengannya.

Andaikata setakat apa yang telah dipaparkan di SYURGA CINTA itu sudah boleh memberikan kesan, saya yakin jika pasukan pengeluar filem bekerja lebih keras lagi, membuat kajian dengan lebih mendalam lagi dan seterusnya menghasilkan sebuah cerita dengan skrip yang lebih berisi lagi baik, tentu sahaja impaknya akan lebih hebat dalam melontarkan bahan fikir dan anjakan paradigma kepada masyarakat.

Syabas juga kepada Heliza AF5 yang berhasil menjayakan wataknya secara serba sederhana tetapi berkesan. Apa yang lebih perlu disedari oleh semua, kejayaan melakonkan watak Cikgu Syuhadah langsung tidak memerlukan Heliza untuk membuat apa-apa adegan yang menyanggahi hukum Syara’.

Suatu pencapaian.

Semoga kelompongan yang ditinggalkan, diisi sebaik mungkin, sehabis baik.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Pengenalan kepada Pemikiran Kritis

on Saturday, May 2, 2009

Penjanaan akal secara radikal, sistematik, universal, dan terkawal memungkinkan akal digunakan secara menyeluruh dan bersepadu ke arah mencari dan memperoleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Menggerakkan akal secara radikal, bukanlah bermaksud kita menggunakakan akal secara bebas dan sewenang-wenangnya. Ia juga bukan bertujuan untuk memaksa akal memikirkan sesuatu yang di luar kemampuannya, atau memaksa akal berfikir, dengan tiada terus hentinya. Radikal dalam konteks ini lebih menghala kepada usaha berfikir yang bersungguh-sungguh apabila sesuatu hal atau perkara memerlukan kita berfikir .

Islam tidak pernah menyekat kebebasan berfikir kepada umatnya. Malah dalam kebanyakan ayat al-Quran, proses berfikir itu begitu dititikberatkan dalam kebanyakan perkara, lebih-lebih lagi yang menyeru manusia agar berfikir, merenung, memerhati dan melihat tanda-tanda dan kebesaran Allah SWT. Jelasnya, Islam melihat proses dan kepentingan berfikir itu sebagai satu ibadah yang amat dituntut dalam kehidupan seharian.(1)

Manusia yang dicipta oleh tuhan sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi ini mempunyai berbagai keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Kelebihan dan keistimewaan ini ialah kerana manusia dikurnialan akal. Akal fikiranlah yang membezakan secara kualitatif, di antara manusia dan haiwan. Akal atau minda adalah sumber ilmu intelek (intellectual knowledge) yang menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan pentaakulan minda (akal). Akal adalah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Akal adalah merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang sangat berharga kepada hambaNya. Melaluinya manusia boleh membuat pentaakulan (rationalize), membentuk konsep (conceptualize), dapat memahami (comprehend) dan sebagainya. Untuk memiliki sifat ‘hikmah’ (wisdom), seseorang perlulah menjalani latihan penajaman minda dan pendidikan pembersihan akal.

Di samping dikaitkan dengan otak, hikmah juga dikaitkan dengan ‘qalbu’ atau hati manusia. Hati adalah sumber ilmu yang menghasilkan pengetahuan melalui ilham, taufiq dan hidayah (bisikan hati dan suara qalbu). Pemberian Allah S.W.T. kepada seseorang kerana bersihnya hati yang dimiliki. Hati mempunyai keupayaan pentaakulan dan daya faham seperti kemampuan akal, boleh mengesani dan menemui kebenaran. Pengetahuan yang diperolehi melalui mata hati dapat membezakan yang benar dari yang palsu, yang betul dari yang salah, kebaikan dari keburukan. Untuk memperolehi pengetahuan bersumberkan hati, seseorang itu perlu mempunyai hati yang suci dan ini dapat dicapai melalui latihan penyucian hati (purification of the heart). Sekiranya manusia dapat menggunakan akal dan hatinyanya dalam mengeluarkan buah fikiran, maka ia dikira sebagai telah menggunakan akalnya dengan bijak. Kemahiran mengggunakan buah fikiran yang baik dan berguna inilah yang bakal mengangkat darjat “keinsanan manusia berbanding haiwan”. Sejarah membuktikan bahawa manusia bertindak tanpa menggunakan akal dan buah fikirannya boleh terjerumus de dalam darjat kehaiwanan, bahkan lebih dahsyat daripada itu.

Keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang dibuat oleh manusia ada kaitan dengan kemahiran berfikir. Sekiranya keputusan dan tindakan itu membawa natijah positif kepada dirinya dan orang lain, ia dikatakan keputusan yang berhikmah dan bijaksana. Sebaliknya, jika keputusan tidak bermanfaat kepada diri, orang lain dan alam sekelilingnya, keputusan itu dikatakan tidak bijak atau tidak berhikmah.

Betapa perlu dan pentingnya aktiviti berfikir untuk diri manusia adalah jelas sebagaimana digambarkan di dalam maksud sebuah hadis Nabi “Berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat selama tujuh puluh tahun”. Manakala di dalam kitab suci Al-Quran perkataan yang merujuk kepada kata akar aqal disebut sebanyak 40 kali. Allah SubhanahuWataala (S.W.T) juga menempelak manusia yang tidak mahu berfikir. Apabila Allah S.W.T memberitahu manusia, “Lihatlah bulan, lihatlah langit, lihatlah bintang dan fikirkan”. Menyedari kebesaran Allah Taala melalui ciptaanya seperti bumi, bulan, bintang dan matahari adalah tanda seseorang itu sebenarnya menggunakan akalnya untuk berfikir. Justeru itu, berfikir adalah sesuatu yang menjadi tuntutan dan seharusnya dilakukan oleh manusia dalam setiap aktiviti dan tindak tanduk yang dilakukan. Namun bagitu, tidak ramai antara kita yang memahami pengertian serta selok-belok berfikir yang sewajarnya. (2)

Ciri Pemikiran Kritis

Ciri-Ciri Pemikiran Kritis
1. Reaktif
Seseorang yang berfikiran kritis akan sentiasa peka kepada perkembangan yang berlaku di sekitarnya. Ini diikuti dengan gerak balas yang positif dan bersifat segera. Buah fikiran selalunya datang setelah melihat sesuatu peristiwa berlaku. Selalunya sifat reaktif ini ditunjukkan dengan perlakuan seperti suka membuat ulasan, komen dan kritikan terhadap peristiwa yang berlaku.

2. Menilai
Berfikiran secara kritis juga menuntut kita supaya sentiasa membuat penilaian terhadap sesuatu perkara. Penilaian dibuat dari sudut kebaikan dan keburukan yang bakal diterima dari setiap tindakan yang dibuat. Biasanya penilaian adalah berdasarkan bilai yang mereka jadikan panduan hidup, seperti nilai agama bagi mereka yang beragama manakala yang tidak beragama menggunakan nilai moral sebagai landasan.

Perkara yang menjadi fokus penilaian adalah seperti berikut :
a ) Apa yang baik?
b ) Apa yang salah?
c ) Apa yang buruk?
d ) Apa yang hina?
e ) Apa yang halal?
f ) Apa yang haram? dan sebagainya.

3. Meneliti idea dengan fakta yang telah diketahui
Setiap idea yang dicetuskan lazimnya mempunyai asas fakta dan alasan yang munsabah. Fakta, alasan dan asas tersebut bergantung kepada pengetahuan sedia ada dan pengalaman seseorang tersebut. Setiap idea akan diteliti dengan fakta-fakta yang telah diketahuinya sebelum dizahirkan dan seterusnya dilaksanakan.

Kesimpulan

Asasnya, Pemikiran Kritis menjadikan kita lebih terbuka dalam menerima sesuatu, di samping cuba mempertimbangkannya semula, menganalisa secara kritis dengan mengambilkira pelbagai sudut. Ia juga memungkinkan pencernaan beberapa idea dan konsep baru.

Ilmu Pemikiran Kritis juga membolehkan selain menganalisa hujah (hujah yang kuat atau lemah, teori berguna atau menyangkalnya), kita juga berupaya berhujah dengan berkesan sekali. Hakikatnya ia mampu membuatkan kita berhujah dengan baik atau menganalisa hujah dengan lengkap.

Pemikiran Kritis menjadikan kita lebih kritis dan peka dalam mengkaji sesebuah hujah ataupun penyataan yang dikeluarkan secara pengucapan ataupun penulisan. Ia dapat menyedarkan kita bahawa sesebuah penyataan itu tidak semestinya benar walaupun konteks struktur penyataannya adalah betul.

Pemikiran kritis juga mampu membuka minda kita agar lebih menerima berbanding terus menolaknya secara falasi kejahilan. Kita akan lebih berkeyakinan dalam menangani permasalahan serta jelas dalam melihat sesuatu fenomena.

Walaupun penulisan ini menyentuh topik pemikiran kritis ini secara serba ringkas dan agak padat, namun amat diharapkan ia dapat membantu memahami topik ini secara tidak langsung, dan memberi kefahaman yang baik kepada semua.


Terima kasih.

(1) Mohd. Azhar Abd. Hamid (2001) Pengenalan Pemikiran Kritis & Kreatif. Johor Bahru : Penerbit UTM Skudai

(2) http://www.educ.upm.edu.my/~gm/berfikir.htm

(3) http://www.geocities.com/CapeCanaveral/Galaxy/1483/pemikiran_kritis.html

(4) http://www.angelfire.com/wa/anis/pkritis.html