-Qadi Yang Berfalsafah!-

on Tuesday, July 7, 2009

" Saya tak minat la nak kerja dalam dunia korporat Prof."


" Kenapa pulak?" tanya Prof. Madya Dr. Zainiy Uthman kepada saya yang sedang mengomel sambil makan spaghetti di cafe Mama Mia, UIA.


" Ye lah, masuk dunia korporat ni terpaksalah duduk dalam sistem Cartesian. Penduaan mind and matter. Semua benda nak dijadikan profit! Lagipun saya lebih berminat nak berkongsi dan mengkaji ilmu secara serius, macam pensyarah la"


Beliau hanya tersenyum.


" Enta ni, Ibn Rushd dulu pun terpaksa kerja jadi Qadi. Enta ingat dia suka sangat ke tengok orang bergaduh tiap hari di mahkamah? Ada masa lapang dia buka la buku Aristotle"



Qadi dulu baca Aristotle. Golongan profesional sekarang baca apa?



"Ye ke? Wah tak sangka macam tu. Lupa pulak yang ulama' besar pada zaman dulu bekerja makan gaji jugak macam kita hari ni"


Prof. Zainiy menambah:


"Begitu juga dengan Ibn Khaldun. Kan dia tu Qadi dulu. Dari pengalaman bekerja secara profesional di sultanate courts la dia dapat rangkum banyak idea dan falsafah politik, sosiologi dan sejarah. Sebab tu dia boleh tulis Muqaddimah."


Terlupa pula saya yang kedua-dua ulama' hebat ini bukanlah ilmuan hermit tetapi sama taraf seperti golongan profesional pada hari ini dari segi profesion yang mereka pegangi dahulu. Pandangan yang dilontarkan oleh Prof. Zainiy Uthman ini cukup berharga buat saya fikirkan. Maklumlah, sebagai pemegang pinjaman boleh ubah PETRONAS, sudah pasti saya terikat dengan dunia korporat. Memandangkan ekonomi semakin merudum, kemungkinan besar peluang untuk masuk ke sana agak terbatas. Ini tidak menjadi masalah kerana saya lebih suka terjun dalam bidang pendidikan terus untuk membuat persiapa pasca ijazah.


Tapi, kalau kena masuk juga dalam dunia korporat, saya terpaksalah switch mode falsafah kepada mode mesin tenaga kerja yang efisyen i.e human capital. Pada mulanya saya berasa pesimis sedikit untuk memperkembangkan potensi dan kapasiti intelektualisme yang saya sedang asah sekarang jikalau berkerja dalam dunia korporat kelak tapi setelah mendengar penjelasan yang Prof. Zainiy berikan, saya mampu berfikir secara optmis sedikit.


Ibn Rushd bukan sebarang Qadi. Beliau telah mengarang syarah yang hebat berkenaan kitab logik Aristotle iaitu Organon dalam Tajrīd al-ʾaqāwīl al-ḍarūrīya min ṣināʿat al-manṭiq dan banyak lagi syarah yang beliau tulis dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang perubatan yang mana beliau turut sama menjadi doktor peribadi kepada Amir kerajaan Al-Muwahhidun, Abu Ya'qub Al-Mansur.


Begitu juga dengan Ibn Khaldun yang bukan hidup berkerja makan gaji sahaja tetapi turut sama menyumbang kepada pembinaan disiplin ilmu sains sosial melalui Kitab al-'Ibar atau lebih dikenali sebagai Muqaddimah yang dipuji melangit oleh intelektual Barat seperti Arnold Toynbee dan Franz Rosenthal. Kerjaya mereka selaku Qadi tidak menutupi jiwa mereka yang cintakan ilmu pengetahuan.


Kagum saya. Tidak sepatutnya saya, walaupun dicampak ke dalam dunia korporat kelak, beralasan untuk menjadi ceroi dalam kasus intelektualisme. Nasihat Prof. Zainiy benar-benar memberikan buah fikiran yang penting untuk saya ingat sampai bila-bila.


" Lagi satu, kalau enta kerja dalam PETRONAS, they pay you well right? Gunalah duit tu untuk beli buku!" tambah Prof. Zainiy.


Saya ketawa kecil sambil mengunyah fetuccine carbonara yang sedap.


Jauh di sudut hati kecil saya: " It's true. Very true. If I got stuck in corporate world, doesn't mean I'm signing my philosophical death note. Instead it might be a blessing in disguise. Tak perlu risau, Al-Farabi pun menulis after 40! "


Rujukan

Misteri Istilah Wahabi


Ada beberapa nama ulama dan pendakwah yang sering dikaitkan sebagai orang Wahabi, salah seorangnya ialah mantan mufti Perlis, Dr. Asri yang menulis artikel dibawah.

Misteri istilah Wahabi

Perkataan Wahabi dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran lebih moden atau tafsiran yang agak western influence.

Clinton Bennet memasukkan Wahhabis dan Deobandis di bawah kelompok traditionalists yang bererti sekali gus berada di bawah aliran fundamentalist (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).

Sebahagian penulisan Barat melihat Wahabi sebagai aliran yang menganggap 'hanya Islam agama yang benar', wajib menegakkan Islamic State, adanya 'jihad' menentang kuffar dan ciri-ciri lain yang dianggap unsur 'padang pasir' sekali gus cuba dikaitkan dengan terorisme.

Di Malaysia pula, Wahabi adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau memfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham.


Bagi mereka, ia senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: "Siapa tak setuju dengan saya dia Wahabi".

Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: "Apa itu Wahabi?". Jawab tok imam: "Siapa yang mengkritik ustaz dia Wahabi". Maka tidaklah berani lagi 'penasihat' itu berbeza pandangan dengan 'tok imam' dan mempertikaikan infallibility ustaz, takut jadi Wahabi.

Di sesetengah tempat, seseorang dituduh Wahabi kerana menentang amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat.

Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar 'ustaz', bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka 'sang ustaz' itu dengan mudahnya akan menyebut: 'awak Wahabi'.

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh Wahabi. Padahal kitab Melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: "(dan makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyeru segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya".

Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendiri, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata 'awak Wahabi'.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam.

Modal

Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk 'bisnes' mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan 'kartun' dan 'lucu'.

Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya 'awak Wahabi'. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin 'Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu Wahabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai Wahabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau.

Nama sultan akan digunakan. Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat.

Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: "ini lebih bahaya kerana Wahabi". Apa itu Wahabi? Jawab mereka Wahabi itu Wahabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia 'aliran pengkafir umat' yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah Wahabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafii. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu Wahabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas. Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi: ''Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazmum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah 'mereka ini' apabila menjadi 'penasihat-penasihat' bank, bagi memenuhi keperluan bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab.

Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal 'sesetengah mereka ini' di luar mesyuarat bank yang ber'elaun' itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah Wahabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai Wahabi. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan pandangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan Muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum Cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai Wahabi.

Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok Wahabisme. Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu Wahabi dan sesat, yang tertutup itulah yang 'membolot segala kebenaran'.

Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan 'pereputan' kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan Muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Penentangan

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalism vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang.

Bagi saya, bukan isu Wahabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat 'kedudukan' seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mesyuarat itu sebagai 'bank mazhab Wahabi'.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua accomodation or resistance. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh Wahabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap Wahabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain Wahabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.

Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti Perlis.


http://1426.blogspot.com/2009/07/misteri-istilah-wahabi.html

Nilai Dakwah di Dalam -Syurga Cinta-



syurgacinta

Jodoh ada tiga jenis jodoh.

Jodoh dari Syaitan… berkenalan, berpegangan tangan, buat maksiat, mengandung lalu bernikah.

Jodoh dari Jin… berkenalan, bertepuk sebelah tangan, lalu dibomoh dan disihirkan sebelah pihak sampai tunduk mengikut kemahuan lalu bernikah.

Jodoh dari Allah… cinta berputik, masuk meminang dan langsung bernikah, itulah SYURGA CINTA.

Dialog di atas adalah kemuncak kepada perjalanan kisah yang dipaparkan oleh filem SYURGA CINTA arahan terkini Pengarah Ahmad Idham. Saya suka kepada dialog itu kerana ia meninggalkan sesuatu yang boleh dipegang oleh penonton sebagai teladan yang mahu diambil daripadanya.

Bersahaja, tidak berputar belit di dalam falsafah, senang dan dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat kita.

Saya berusaha untuk meluangkan masa menonton sebuah filem yang pembikinannya direncanakan berulang-ulang kali di ASTRO. Ia sebuah filem yang membawa mesej dakwah, kata Ahmad Idham dan David Teoh, justeru saya kira berbaloi untuk saya menonton dan cuba mempertimbangkan kesan dakwahnya seperti yang disasarkan.

Filem SYURGA CINTA mempunyai banyak peluang.

Peluang untuk melontarkan sesuatu yang boleh mencetuskan sebuah kesedaran. Tema yang dipilih bagus, seakan-akan sama atau berkebetulan pula dengan drama CINTA SEMPURNA yang sudah sampai ke kemuncak penggambarannya untuk tayangan di ASTRO OASIS Ramadhan ini.

Para pelakon yang menjayakan watak-watak di dalam filem ini juga mempunyai bakat dan potensi untuk memanfaatkan peluang tersebut. Awal Ashaari dengan wataknya sebagai Irham, Hadziq Tom Tom Bak dengan wataknya sebagai Ikmal dan Heliza AF5 yang membuat penampilan pertamanya di layar perak sebagai Cikgu Syuhadah, mereka bertiga mempunyai segala yang diperlukan untuk menjayakan filem ini.

Namun, demi ruang penambahbaikan, saya berpandangan yang filem SYURGA CINTA masih terbelenggu dengan masalah yang sama, seperti yang lazim ditemui di dalam filem-filem kita.

Masalah skrip.

Jalan ceritanya amat baik. Masakan tidak, saya sendiri berusaha menetapkan satu masa untuk menontonnya kerana jalan cerita yang dipromosikan oleh media.


Tetapi idea dan jalan cerita yang baik itu dimanifestasikan oleh dialog-dialog yang menunjukkan longgarnya kesungguhan panel skrip MIG membuat kajian agar ia tidak keterlaluan menjauhi dunia sebenar.


Irham dipotretkan sebagai seorang anak muda yang dibesarkan di UK semenjak kecil, kehilangan budaya dan cara hidup Melayu dan Muslim. Tetapi dialog-dialog beliau dengan dua rakannya si Zainal dan Alex agak keterlaluan dan saya yakin manusia-manusia seperti Irham di dalam kehidupan sebenar akan rasa pemikiran dan cara hidup mereka diperbodohkan melalui adegan 10 ke 15 minit pertama filem SYURGA CINTA.

Expression untuk Londoners atau English Oriented Malay yang terlebih dos menjadikannya seperti dibuat-buat, gagal memperlihatkan Irham sebagai anak Melayu yang membesar di UK. Hendak dikatakan bermotif lawak, ia tidak lawak. Mahu dianggap serius, ia nampak sangat tidak wujud di alam nyata.

Saya kira, cukuplah sekadar idea pergaulan bebas, alergik dengan orang bertudung dan kegemaran clubbing dipaparkan secara ala kadar. Tetapi tidak perlulah sampai menjadi kurang ajar yang bukan sahaja dalam konteks masyarakat Melayu Muslim di Malaysia, malah di kalangan English dan Londoners pun ia dikategorikan sebagai kurang ajar, dan bukannya being English atau Londoners.

Malah unsur kebaratan yang cuba ditonjolkan melalui bahasa Irham tidak konsisten dan hilang selepas 20 minit filem berjalan. Cepat benar accent beliau hilang ditelan Malaysia.

Mungkin di sini, peranan dialogue coach boleh dipertingkatkan.

Walaupun Ahmad Idham menafikan SYURGA CINTA sebagai meniru filem-filem lain yang hampir dengan idea filem ini, saya tidak dapat menafikan yang elemen filem KIAMAT SUDAH DEKAT dimasukkan secara ketara tanpa selindung. Misalnya perbualan di antara ibu dan bapa Irham (lakonan Dian P. Ramlee dan Mustafa Kamal) menyebut bahawa mereka sudah banyak berbuat kebajikan membantu anak yatim di Bosnia dan mengambil Ikmal sebagai anak angkat, kebajikan yang banyak itu pasti mengesahkan keselamatan mereka untuk masuk Syurga nanti.

Saya juga merasakan bahawa proses turning point Irham yang menimbulkan kesedaran pada dirinya tidak berjaya ditonjolkan. Tiada sebarang insiden yang benar-benar jelas memberikan impak sehingga Irham yang asalnya bertaruh dengan kawan-kawan untuk menggoda Cikgu Syuhadah berubah menjadi manusia hijrah yang meninggalkan Jahiliah kepada Islam. Tiada diskusi atau perbualan antara Irham dan Cikgu Syuhadah yang mempunyai impak anjakan paradigma.

Tidak dilupakan, kualiti dialog yang berlangsung di antara Irham dan Imam (lakonan Wazata Zain) di sebuah Surau.

Luahan hati Irham itu amat baik, tetapi nasihat yang diberikan oleh Imam ideanya mustahil dapat meredakan keserabutan fikiran anak muda seperti Irham. Ia berbelit-belit dan tidak jelas mesej yang hendak diberikan kepada Irham. Saya sendiri sukar menangkap apa sebenarnya yang cuba dinasihatkan oleh Imam berkenaan kepada Irham.

Malah terdapat kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku apabila Imam mengatakan sebuah Hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai Firman Allah dari al-Quran.

hadih-suwarikum

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu. Tetapi Dia memandang hati dan amal kamu” [Hadith riwayat Muslim]

Ia sebuah kecuaian yang mencacatkan kualiti idea dan dialog sebuah filem.

Akan tetapi saya memuji keberkesanan lakonan Awal Ashaari semasa Irham tertekan dengan pelawaan kawannya untuk meminum arak pasca kesedaran dirinya. Dalam keadaan yang keliru dan bingung, Irham hampir kalah dengan pelawaan itu tetapi tanpa sengaja beliau telah membaca Bismillah sebelum menonggang air setan itu, dan ia mengejutkan dirinya sendiri.

Kespontanan yang dipaparkan, melekat di kepala penonton.

Secara keseluruhan, saya berpandangan bahawa filem SYURGA CINTA adalah sebuah percubaan yang sederhana. Namun setelah membaca di review di internet, saya dapati begitu ramai penonton yang menyukai filem SYURGA CINTA ini dan terkesan dengannya.

Andaikata setakat apa yang telah dipaparkan di SYURGA CINTA itu sudah boleh memberikan kesan, saya yakin jika pasukan pengeluar filem bekerja lebih keras lagi, membuat kajian dengan lebih mendalam lagi dan seterusnya menghasilkan sebuah cerita dengan skrip yang lebih berisi lagi baik, tentu sahaja impaknya akan lebih hebat dalam melontarkan bahan fikir dan anjakan paradigma kepada masyarakat.

Syabas juga kepada Heliza AF5 yang berhasil menjayakan wataknya secara serba sederhana tetapi berkesan. Apa yang lebih perlu disedari oleh semua, kejayaan melakonkan watak Cikgu Syuhadah langsung tidak memerlukan Heliza untuk membuat apa-apa adegan yang menyanggahi hukum Syara’.

Suatu pencapaian.

Semoga kelompongan yang ditinggalkan, diisi sebaik mungkin, sehabis baik.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

John Perkins - Ejen Kapitalis Dunia

Pada 2004, John Perkins menulis Confession of an Economic Hit Man – Pengakuan Tukang Pukul Ekonomi. Buku ini melakar bagaimana Perkins direkrut oleh National Security Agency (NSA) untuk menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.



Untuk menghalalkan tugasnya, Perkins telah dimasukan bekerja di sebuah syarikat konsultan ekonomi sebagai baju yang dipakai oleh Perkins kerana syarikat ini memiliki hubungan rapat dengan NSA.

Sebagai penasihat ekonomi, Perkins merayau-rayau ke Indonesia, Panama, Ecuador, Colombia, Arab Saudi, Iran dan negara yang dianggap memiliki potensi ekonomi.

Tugas Perkins cukup enteng: dia akan menasihatkan pemimpin negara-negara ini untuk membuat projek-projek mega (seperti projek Bakun).

Perkins tidak memiliki masaalah untuk bertemu dengan pemimpin politik negara-negara Dunia Ketiga kerana dia sedar bahawa pemimpin-pemimpin ini, apabila mendengar ada Mat Saleh ingin bertemu mereka, maka mulut dan buntut mereka ternganga luas.

Perkins dijemput untuk menghadiri pelbagai seminar dan mesyuarat (seperti Invest Malaysia 2009) dan dijemput dalam perbincangan percambahan pendapat.

Akhirnya Perkins akan membuat dan mengajukan kertas kerja dan cadangan untuk memunculkan projek mega.

Dalam masa yang sama, melalui Perkins, Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau bank-bank lain akan bersiap sedia mengeluarkan dana.

Projek mega ini cara "merasuah" para pemimpin dan kroni para politikus Dunia Ketiga. Projek-projek ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan ekonomi warga negara itu walaupun dengan lunak Perkins akan menggambarkan bagaimana projek mega ini akan memberi manfaat untuk rakyat. Ia hanyalah kelentong.

Kontraktor-kontraktor projek, perkakas pembuatan – semuanya didatangkan daripada nasihat Perkins. Projek ini akan menggunakan pakar-pakar 'Mat Saleh' yang dibayar dengan lumayan berbanding dengan pakar tempatan.

Perkins melahirkan pekerjaan untuk para Mat Saleh yang dipanggil 'pakar'.

Dalam masa yang sama, Perkins cukup sedar banyak dana ini akan masuk ke dalam poket para pemimpin negara ini - ia sebahagian daripada strategi Perkins. Ia perangkap yang sengaja dipasang.

Sedikit demi sedikit negara ini akan terhutang dengan lembaga-lembaga bank antarabanga – IMF, Bank Dunia, Bank Eropah dan pelbagai lembaga dana yang bekerja erat dengan Perkins.

Bunga dan hutang ini akan meningkat, lalu menambahkan lagi beban negara. Perkins akan mengusulkan cara terbaik untuk mencari dana agar dapat membayar hutang dan bunga.

Cadangan Perkins: subsidi mesti dihapuskan. Kawalan makanan dilupuskan, import dibesarkan. Barangan eksport dimurahkan.

Nilai ringgit dikurangkan dengan alasan akan menarik orang luar membeli barangan eksport.

Akhirnya – akan sampai suatu masa – hutang begitu menjerut untuk negara ini. Maka Perkins akan 'menasihatkan' para politikus agar Pertamina memberikan hak untuk Exxon menjalankan cari gali di Ambalat – mislanya yang terjadi di Indonesia.

Ia perangkap awal.

Jika pemimpin politik ini memiliki perasaan nasionalisme dan terus berdegil, maka akan dihantar apa yang di panggil 'the Jackals'. Mosaddeq di Iran menjadi mangsa pada 1953.

Presiden Guatemala pada 1954 menjadi mangsa agar bumi negaranya selamat untuk dijadikan ladang pisang United Fruits Company. Sukarno pada 1965, Ecuador pada 1981.

Mari kita melihat kes klasik sejarah Terusan Panama yang telah dimiliknegarakan oleh Omar Torrijos pada 1977. Kemudiannya, pada 31 Julai 1981, kapal terbang yang dinaikinya meletup di udara.

Sesudah Torrijos mati, Amerika kembali mendapat hak untuk meletakan tenteranya di Terusan Panama. Khalas.

Di negara kita sendiri perkara yang sama pasti berlaku. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilakar oleh Razak Hussein mengetepikan kepentingan pemodal antarabangsa. Kaum pemodal ini berasa kurang senang dengan dasar ini. Melalui media dunia, mereka terus mempertikaikan dasar ini.

Dasar ini juga dikritik oleh kapitalis nasional dan kapitalis komprador yang suaranya diwakili oleh MCA.

Ketika itu air, api, telekom, universiti, jalan raya, hospital, tanah Felda dan perbadanan kemajuan ekonomi peringkat negeri SEDC – semuanya milik orang ramai, yakni milik negara.

Kritikan dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Mak Jah peniaga warung di Gombak atau Pak Huseing pembuat budu di Pengkalan Chepa. Kritikan ini datang daripada kaum kapitalis yang tidak dapat membuat keuntungan maksimum.

Apabila Mahathir Mohamad naik, semua ini diubah. Untuk mendapat sokongan kapitalis komprador dan kapitalis nasional (baca: pemodal Cina), Mahathir telah menswastakan harta rakyat ini. Maka gembiralah dan berkendurilah kaum kapitalis ini.

Harta kekayaan mereka bertimbun-tambah. Laporan terbaru membuktikan bagaimana 58 bilion ringgit harta negara di tangan swasta, hanya 2 bilion ringgit sahaja yang menjadi milik Melayu.

Mahathir naik tocang apabila dinobatkan oleh kaum pemodal (kaum: Cina) sebagai penjana pembangunan. (Ia tidak ada sangkut paut dengan Mak Cik Limah di Felda Chomomoi atau Haji Timah tuan punya warung di Senawang) DEB hakikatnya adalah dasar ekonomi kapitalis yang penuh dengan percanggahan.

Dasar ini bercita-cita untuk memunculkan 'zaibatsu' Melayu atau Bumiputera. Ia hanyalah mimpi tegang yang tidak terpancut-pancut.

Cita-cita ini tidak mungkin tercapai hingga bumi meletup. Kalaupun tupai beranakkan gajah, dasar ini tidak akan tercapai!

Dasar DEB tidak akan berjaya kerana dalam hukum ekonomi kapitalis "apa boleh jual akan dijual, apa yang boleh dibeli akan dibeli".

Dalam ekonomi kapitalis, tidak ada agama atau bangsa. Setiap kali modal dilabur untuk Melayu, ia pasti akan bertalian dengan ekonomi Cina yang telah lama kukuh. Wang yang mengalir ini belum mengambil kira jumlah rasuah.

Tidak mungkin semua orang Melayu/Bumiputera akan dapat dikayakan. Pemodal memerlukan buruh yang boleh diupah murah. Pemodal memerlukan pengguna untuk membeli.

Kalau Melayu semua kaya, siapa pula yang akan menjadi buruh di ladang sawit, penanam padi, nelayan dan Minah Karan dan Mat Spanar?

DEB hanyalah satu kelentongan atau tipu helah - lubuk para politikus Melayu berkumpul membuat dasar atas nama Melayu.

Dengan bersandarkan kemelayuan, maka para politikus Melayu ini dapat 'merembat' harta negara.

Pada ketika DEB dimulakan, pergaduhan Melayu lawan bukan Melayu baru selesai (peristiwa 13 Mei 1969). Kapitalis nasional dan kapitalis komprador tidak berani menyuarakan tentangan pada ketika itu.

Mereka melihat dari jangka panjang kepentingan mereka lebih terjaga dengan dasar DEB ini. Anggapan mereka cukup tepat.

Siapa dia Lim Goh Tong, siapa dia Ananda Krishnan, siapa dia Vincent Tan?

Dasar untuk menjadikan 30 peratus harta kekayaan negara ini dimiliki oleh Melayu/Bumiputera adalah mimpi kosong dan dasar yang salah. Tidak perlu membuat kajian ilmiah – pergi sahaja keluar dari Kuala Lumpur dan lihat sendiri kehidupan orang-orang di kampung.

Memang betul ada perubahan. Kalau dulu, pada 1974, di Kampong Chenor (kampung saya) tidak ada elektrik dan air, hari ini telah ada.

Tetapi air dan elektrik kini dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Hospital dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.

Sekolah dan universiti dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.

Jalan raya dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Telefon dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Inilan perbezaannya.

Inilah hakikatnya.

Dua minggu dahulu Najib Razak telah membuat dasar liberalisasi. Perkataan LIBERALISASI ini perkataan hampeh - perkataan putar alam bertujuan untuk mengelirukan kefahaman yang tuntas kepada orang ramai terutama kepada Mak Cik dan Pak Cik Felda.

Liberalisai bermakna syarikat antarabangsa dibenarkan berniaga bebas dalam negara ini.

Dua hari lalu Najib telah mengubah satu jalur DEB. Kaum pemodal pasti akan mengalu-alukan dasar (baru) ini. Ertinya pasaran Malaysia terkangkang luas untuk dientot. Ertinya, tidak ada lagi halangan untuk sesiapa sahaja memiliki harta kekayaan negara ini.

(Kalau saya kapitalis, saya akan terpancut siang malam dan meleleh air liur melihat harta negara ini boleh dimiliki).

Kenapa Najib membuat dasar baru ini?

Cukup senang untuk memahaminya. Najib memiliki masaalah peribadi yang berat. Jangan silap baca, ia tidak ada sangkut paut dengan berat isteri Najib. Berat di sini bermakna berat dari segi politik.

Contohnya, parti yang dipimpin oleh Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Retak-retak kelihatan dalam gabungan Barisan Nasional. Dan paling menakutkan Najib apabila kaum kapitalis komprador dan kapitalis nasional (baca: pemodal Cina) telah menjauhkan diri daripada Najib.

Dalam masa yang sama media antarabangsa terus menghantui Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, wanita cun dari Mongolia. Media luar ini alat pembesar suara untuk memastikan kepentingan kaum pemodal antarabangsa terjaga rapi.

Kaum pemodal antarabangsa ini telah lama ingin merembat harta kekayaan negara ini. Hantu-hantu, polong-polong dan puaka-puaka ini perlu dijaga.

Najib wajib melakukan sesuatu. Seperti Mahathir menswastakan harta negara untuk kaum komprador dan kapitalis nasional, maka Najib menswastakan seluruh bumi Malaysia ini untuk kepentingan kelas kapitalis dari dalam dan luar negara - inilah hakikat dari dasar ekonomi yang akan dijalankan oleh Najib.

Di mana Perkins kaki pukul sedang bersemayam?

Jangan risau, si Perkins ini masih wujud. Perkins telah menghantar budak suruhannya dari Singapura. Lupakah projek mega, jambatan ketiga yang dicadangkan Najib sewaktu berkunjung ke republik itu?

"Perkins-Perkins" ini mungkin ada jaringan dalam Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri. Si Perkins ini mungkin masih bersarang di Tingkat Empat atau ingin pindah ke tempat yang lebih tinggi seperti di Menara Petronas.

Si Perkins sedang berselerak menjalankan tugas untuk memastikan kepentingan kaum kapitalis akan didahulukan.

DEB atau Dasar Pendekatan Baru ini semuanya tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada rakyat biasa. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Gopal pemandu teksi dari Segambut. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Swee Heng peniaga nasi itik di Jalan Petaling.

Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Hajah Limah pembekal kerepek ubi dari Sijangkang.

Rakyat biasa tidak berjudi di bursa saham. Rakyat biasa tidak tahu apa itu 'pink form'. Rakyat biasa tidak memahami turun naiknya Nasdaq atau Index Hang Seng. Rakyat biasa mahu keselesaan dan bukan mahu diikat dengan pelbagai gaya – cukai, tol, bil hospital, bil air, bil api, bil sewa rumah, cukai rumah – di mana mereka wajib dan dipaksa mengeluarkan duit yang tidak mereka miliki.

Dasar ekonomi terbuka dan terkangkang ini akan menjemput kapitalis antarabangsa – dengan alasan untuk melabur dan membawa modal. Hujah ini betul-betul daripada kertas kerja John Perkins. Beginilah cara yang digunakan oleh Perkins untuk memastikan sesebuah negara itu akhirnya akan dapat dijajah kembali.

Satu kerajaan yang baik adalah kerajaan yang berkiblatkan rakyat. Sebuah kerajaan yang adil tidak akan mempedulikan kepentingan kaum kapitalis kerana mereka menghisap darah warga negara. Dasar yang wajib dinobatkan ialah dasar kepentingan ramai mendahului kepentingan peribadi. Kepentingan ramai menjadi nakhoda dan juragan.

Kerajaan yang adil ialah sebuah pentabiran yang telus di mana dasar ekonominya akan menobatkan kepentingan kaum buruh dan tani kerana dari tenaga mereka inilah munculnya modal.

Modal muncul daripada tenaga manusia. Modal bukan wang ringgit. Wang ringgit adalah tanda nilai tenaga dan fikrah manusia. Modal datang daripada tenaga warganegara itu sendiri.

Modal bukan datang daripada IMF atau Bank Dunia. Duit daripada IMF atau Bank Dunia itu hasil rompakan tenaga kaum buruh dan tani dari seluruh dunia.

Justeru, dasar menjual Felda mungkin dilihat dapat mengumpulkan modal. Awas! Menjual Felda samalah seperti Lebai Sudin di Kuala Nerang yang hanya memiliki sebuah rumah dan tiga relung sawah.

Satu hari untuk membaiki atap rumahnya Lebai Sudin telah menjualkan tiga relung tanah sawahnya kepada...


http://www.malaysiakini.com/columns/107958

:: Ahmadinejad cabar Obama ::

on Monday, July 6, 2009




Mahmoud Ahmadinejad (kiri) dan Barack Obama.


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, mahu mengadakan rundingan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, di hadapan media antarabangsa, lapor agensi berita di sini, semalam.

Ahmadinejad memberitahu mesyuarat dekan sekolah perubatan bahawa Iran akan memulakan aktiviti diplomatik 'pusingan baru' di tengah kedudukan baru kerajaan yang lebih kuat sekarang, lapor Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA).

"Saya akan pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan rundingan dengan menjemput Obama," kata Ahmadinejad yang menambah perbincangan akan dilakukan di hadapan media antarabangsa dan bukan secara tertutup.

Pentadbiran Obama sebelum ini menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan Iran tetapi turut mengkritik kerajaan negara itu berikutan caranya mengendalikan ketegangan dan rusuhan selepas pilihan raya presiden.

Minggu lalu, Obama berkata kerajaan Iran perlu memberi penjelasan akan segala tindakannya mengikut pandangan rakyatnya sendiri dan bukan pandangan dari sudut Amerika.

"Ramai rakyat Iran sendiri menganggap pilihan raya presiden baru-baru ini tidak sah. Belum terlambat bagi Iran untuk mengakui masih ada jalan damai yang akan membawa kestabilan dan kesejahteraan," kata beliau pada sidang akhbar di Rumah Putih.

Obama sebelum itu dikritik anggota Republikan seperti Senator John McCain dari Arizona dan Senator Lindsey Graham dari South Carolina kerana mengambil pendekatan 'berhati-hati dan pasif' ketika bercakap megenai penahanan, keganasan dan kematian aktivis pro demokrasi yang semakin bertambah di Iran.

Pegawai kanan kerajaan Iran termasuk Ahmadinejad, mendakwa negara seperti Amerika dan Britain mencampuri ha ehwal Iran.

Minggu lalu, Ahmadinejad berkata, pihaknya terkejut atas campur tangan asing dan memberi amaran akan bertindak balas jika ia berterusan.

"Tidakkah Obama kata beliau mahukan perubahan, jadi kenapa beliau campur tangan, mengapa beliau mengeluarkan kenyataan tanpa mengenal adab sopan?

"Mereka asyik berkata mahu mengadakan perbincangan dengan Iran. Kami juga sudah menyatakan kesediaan, tetapi adakah ini cara yang betul untuk berunding" katanya.

Sementara itu, dua tokoh politik sudah menemui anggota keluarga mereka yang ditahan ketika rusuhan selepas pilihan raya.

Agensi Berita Buruh Iran (ILNA) pula melaporkan, seorang daripada mereka ialah bekas presiden Ali Akbar Hashemi Rafsanjani dan penyokong pemimpin pembangkang, Mir Hussein Mousavi.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090706010851/Article/indexworld_html

Michael Jackson - Hebat & Kontroversi

on Friday, June 26, 2009

Kematian Raja Pop Michael Jackson awal pagi ini akibat serangan jantung mengejutkan dunia dan dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada para peminat dan dunia hiburan antarabangsa.

Pegawai Koroner Long Angeles, Leftenan Fred Corral memberitahu CNN bahawa Jackson, 50, disahkan meninggal dunia dua jam selepas pasukan perubatan menerima panggilan dari rumah bintang tersebut.

micheal jackson past away dead 260609 01Michael dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Gary, Indiana. Dia merupakan anak ketujuh daripada keluarga sembilan orang.

Lima anak Jackson - Jackie, Tito, Jermaine, Marlon and Michael - membuat persembahan bersama pertama mereka dalam satu pertandingan nyanyian ketika Micheal berusia enam tahun.

Mereka muncul juara dan seterusnya menjadi kumpulan paling paling popular - The Jackson Five, dan kemudiannya The Jackson 5.

Michael membuat album sulungnya pada 1972, dan album Thriller pada 1982, yang terus menjadi lagu top 10.

Albumnya dijual sebanyak 21 juta di Amerika Syarikat dan sekurang-kurangnya 27 juta di seluruh dunia.

Penerima 13 kali Anugerah Grammy semasa hayatnya bergelut dengan pelbagai kontroversi, termasuklah dakwaannya memeluk Islam serta dituduh mencabul kehormatan seorang budak lelaki pada 1993.

Pada November tahun lalu, akhbar melaporkan, Michael memeluk Islam di rumah seorang rakannya Steve Porcaro di Los Angeles.

Turut hadir pada majlis itu penyanyi Yusuf Islam, pencipta lagu David Wharnsby dan penerbit album Philip Bubal.

Beliau dilaporkan memilih "Mikaeel" - sempena nama malaikat pembawa rezeki - sebagai nama Islamnya.

Abangnya Jermaine dilaporkan berkata, pemegang gelaran “penghibur sepanjang zaman” oleh Guinness World Records itu menunjukkan kecenderungan untuk memeluk Islam sejak awal 1990-an.

micheal jackson past away dead 260609 04Michael kaya raya apabila album ketujuhnya Thriller terjual 109 juta keping, membina sebuah rumah mewah di Los Angelas yang dilengkapi dengan taman tema dan zoo persendirian.

Kediamannya itu sering dikunjungi kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan menghidap penyakit yang tidak boleh dirawat.

Di situ beliau bergelut dengan kontroversi yang mendakwa beliau telah mencabul seorang kanak-kanak pada 1993. Beliau diseret ke mahkamah sepuluh tahun selepas itu.

Bagaimanapun, selepas perbicaraan panjang selama dua tahun, mahkamah telah membersihkan namanya dengan mengumumkan beliau tidak bersalah.

Michael menjadi kegilaan anak muda di seluruh dunia dengan suara dan penampilannya yang unik, selain gerak tarinya yang bertenaga di pentas - dikenali sebagai tarian robot dan moonwalk.

Terakhir beliau bergelut dengan tuntutan saman sebanyak AS$7 juta (RM25.26) oleh seorang kerabat diraja Bahrain, Sheikh Abdulla Hamad Al Khalifa kerana didakwa melanggar perjanjian untuk merakam album dan mengadakan konsert di negara itu.


http://www.malaysiakini.com/news/107266

Bila Dua-Dua Guna Dalil al-Quran

on Friday, June 19, 2009

(Dipetik daripada Harakahdaily)


Orang awam yang naif agama selalu diberitahu dalam kuliah, ceramah bahawa apa jua pertikaian, perselisihan kembalilah kepada ajaran al-Quran dan Sunnah.

"Justeru apabila dua pihak yang bertelingkah turut membawa surah dan dalil al-Quran untuk menyokong dan menguatkan hujah, bagaimana orang awam boleh membuat kesimpulan mudah?"

Itu soalan yang bermain di benak hati. Itu juga pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan oleh orang biasa dan awam bila melihat sesuatu perkara yang melibatkan pertembungan antara sesama saudara seagama atau gerakan, pertubuhan dan persatuan Islam.

"Azamin boleh buat tak keputusan atau beritahu kaedahnya apabila, dua-dua pihak juga guna ayat Quran?

"Dua-dua orang juga guna surah dan dalil masing-masing, lantas orang macam kami ni, nak ikut yang mana satu?" aju seorang 'pejuang tanpa nama' kepada saya yang sama naif dengan orang itu.

Persoalan di atas ditangguhkan dulu untuk mengimbau kembali kemelut yang pernah berlaku ketika menuntut di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair kira-kira 12 tahun yang lampau.

Sekitar 1997, saya didatangi seorang ustaz yang bersamanya seorang pesakit mental yang mempunyai sejarah amuk dan mengacu senjata tajam pada orang awam..

Kebetulan Mudir (pengetua) pondok itu tidak ada, termasuk sebilangan besar ustaz-ustaz yang mengajar bercuti. Saya pula dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Ketua Pelajar untuk menjaga hal-ehwal pelajar. Lantas ustaz ini, mahu memasukkan pesakit mental itu ke sekolah pondok ini. Image

Saya dengan tegas tidak membenarkan kerana ianya cukup berbahaya dan mengancam keselamatan pelajar yang ada. Apa lagi, jadilah perang mulut yang besar antara saya dan ustaz tersebut.

Perang besar

"Maaf ustaz, saya tidak membenarkan kerana ini bukan tempatnya untuk mendidik pesakit mental agar pulih.

"Kita tidak ada ilmu tentangnya, dan sentiasa akan menakutkan pelajar-pelajar yang ada," kata saya kepada ustaz yang sudah mula mencekak pinggang.

"Anta ni memang tak guna. Al-Quran tidak pernah membeza-bezakan manusia. Anta didiklah dia guna al-Quran yang Allah turunkan ini. semua ada di sini, " katanya menuding jari sambil memetik salah satu ayat:

"Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Al-Israa :82)

"Ya, benar tetapi biarlah yang mendidiknya yang arif di bidangnya seperti pakar psikologi, kaunseling dan doktor. Bukannya kita," jawab saya sambil teringat sepotong ayat al-Quran daripada surah az-Zumar.

"Katakanlah: apakah sama antara orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang-orang yang tidak mengetahui ? " (az-Zumar ayat 9)

Ustaz tadi dengan merah padam membidas saya dengan surah yang lain pula. Kali ini dia mencebiskan ayatnya:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."( surah al-Baqarah ayat 155).

"Tetapi ustaz memang benar ini ujian, namun kita sudah boleh menjangkakan bahaya dan boleh mengelaknya.

"Jika sesuatu berlaku, umpamanya dia mengamuk, siapa yang bertanggungjawab...?" kata saya lalu melancarkan kepadanya sebaris ayat yang sentiasa saya hafal.

"Jangan kamu mencampak diri kamu dalam kebinasaan..." ( surah Al-Baqarah ayat 195.)

Ustaz tadi menyambung pula dengan Firman Allah SWT yang lain bermaksud:

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri."(Surah Luqman, ayat 18) Image

Kali ini, sudah ramai pelajar mengerumuni kami berdua, melihat perbalahan dan pertelingkahan tercetus. Apinya kian marak.

Tetapi saya mempertahankan pendirian demi keselamatan para pelajar. Ustaz tadi dengan prinsipnya mahu memulihkan pesakit mental ini.

Ya, dua-dua membawa dalil-dali al-Quran untuk mempertahankan hujah masing-masing. Tetapi yang tercengang dan tercangak-cangak ialah pelajar-pelajar pondok itu.

Silap saya juga, tidak berdebat dan berbahas di bilik tertutup. Tetapi, terlambat, masing-masing sudah hangat!

"Azamin! Siapa kau nak tentukan dia boleh atau tidak boleh masuk di pondok ini. Kau bukan ustaz ataupun mudir di sini.

"Betul, tetapi mereka semua ini tidak ada, jadi batu galang dan beban jatuh pada saya. Saya buat keputusan ini bukan kerana saya tetapi demi keselamatan adik-adik yang belajar di sini," kata saya.

"Anta tidak layak dan berhak buat keputusan," katanya sambil mengungkap ayat firman Allah bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya..." (an-Nisa': 58)

Lalu saya membalasnya juga dengan sepotong ayat ringkas daripada Surah al-Baqarah ayat 190:

"... janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas."

Lantas, ustaz itu beredar pantas tanpa membawa pulang pesakit mental ini. Mahu tidak mahu, tanggungjawab itu berpindah kepada saya pula.

Pesakit yang berusia 27 tahun ini diam seribu bahasa tetapi acapkali tersengih sendiri, saya bawa ke bilik untuk diuruskan. Minta dia bersihkan diri, bawa dia makan dan ajak dia bersembang. Tetapi, dia banyak mendiamkan diri.

Kena rasuk

Saya terpaksa mengarahkan seorang pelajar 'senior', untuk mengekori ke mana sahaja dia pergi, bimbang-bimbang dia melakukan sesuatu yang tidak diingini. Saya pula bergegas ke kedai runcit berhampiran untuk membeli 'umpan'.

Ya, hari pertama berlalu dengan baik tetapi tidak keesokan hari, pelajar-pelajar menjerit memanggil saya yang sedang mengulangkaji.

"Abang Azamin, dia telanjang bulat kat laman surau. Kat tangan dia ada pisau!" jerit seorang pelajar berusia 13 tahun, sambil yang lain-lain bertempiaran lari.

Waduh, pening juga. Gementar pun ada tetapi digagahkan jua. Saya lantas ambil 'umpan' yang dibeli semalam.

"Nah, kau nak ini...kau balik dan bagi pisau tu. Kalau tidak ini aku buang," jerit saya, sambil menunjukkan sebatang rokok dan kotak. Dengan cepat, dia terus menurut arahan tatkala memandang 'umpan' itu tadi. Kes itu selesai.

Satu malam, pondok kami termasuk madrasah tempat belajar 'black-out'. Gelap-gelita. Di luar mulai hujan lebat. Tiba-tiba terdengar jeritan ketakutan sekumpulan pelajar. Rupanya pesakit mental itu sedang bersilat dan kelihatan dirasuk. Mungkin dia berhalusinasi, nampak benda-benda pelik.

Saya juga panik. Jika saya berpencak silat dengan apa jua jurus, sendeng dan bunga sekalipun sudah pasti saya tewas. Dia kerasukan dan orang rasuk, katanya mempunyai kekuatan fizikal yang 'luar biasa.'

"Allahuakbar, Allahuakbar!" saya mengalunkan azan di hadapannya sehingga penghujung.

Dia, dengan muka kelihatan merah menyala, masih membuka bunga-bunga silatnya. Saya azan, kali kedua. Kali ini lebih lantang. Akhirnya, dia rebah di hujung kaki. Esoknya saya demam. Kisah-kisah ini, akan saya coretkan panjang lebar di kemudian hari. Image

Itulah, antara pengalaman-pengalaman 'mendidik' pesakit mental selama seminggu yang saya tiada ilmu tentangnya. Hujung minggu, datang ustaz itu kembali.

"Azamin, saya nak ambil pesakit itu balik. Mudir arahkan saya hantar dia ke pusat pemulihan. Dia tak benarkan tinggal di sini," katanya insaf sambil tertunduk malu.

Ya, akhirnya dalam pertembungan dua-dua orang yang membawa surah-surah dan dalil-dalil al-Quran, seorang hakim yang adil diperlukan untuk memutuskan tindakan yang adil dan tepat.

Ya, arwah mudir saya melaksanakan tugas itu. Mudah-mudahan rohnya dirahmati. Dan kedua-dua kami, belajar daripada kelemahan dan kesilapan. Dan para pelajar yang baru bertatih, mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa itu.

"Sesungguhnya ada hikmah atas yang berlaku. Menjadi kafarah atas dosa-dosa yang kita lakukan," kata seorang ustaz kepada saya.

Dan teringat saya surah al-Insyirah yang antaranya berbunyi: "...Sesungguhnya setiap kesulitan itu ada kesenangan..." (Al-Insyirah ayat 5-6)

(Sebarang kritikan, teguran dan pandangan bolehlah dinukilkan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )_